‘Bukan sebab tiada kerja…’ – Mohd Amar

Kota Bharu: Penghijrahan rakyat Kelantan terutama anak muda ke negeri luar adalah disebabkan sikap dan tradisi suka berhijrah bukannya kerana tiada pekerjaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penghijrahan berlaku bukan sahaja di negeri Kelantan bahkan seluruh dunia, dan keadaan itu tidak menggambarkan kegagalan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang kerja.

Mohd Amar berkata, peluang kerja yang disediakan di negeri ini terlalu banyak dan mencukupi namun ada segelintirnya lebih suka bekerja di ibu kota malah bersifat memilih kerja.

“Sifat orang Kelantan terutama anak muda memang suka merantau sama ada mencari kerja atau apa sahaja aktiviti, itu tak boleh dinafikan.

“Keluar dari negeri untuk bekerja bukan berlaku di Kelantan sahaja tapi seluruh dunia dan beberapa bulan lepas, satu kenyataan dari kajian yang dibuat, 500,000 rakyat Malaysia kerja di luar negara jadi nak kait macam mana tu?

“Peluang kerja banyak tapi anak Kelantan lebih suka berada di luar (Kelantan), mungkin rasa tak glamor, ada juga yang memilih kerja,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Mohd Amar terdahulu hadir dalam majlis makan malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Amar tetap dengan pendirian bahawa Kelantan masih kekal dengan dasar tidak membenarkan pembukaan pawagam.

Beliau berkata, bagaimanapun ia mungkin berubah di masa hadapan bergantung kepada perubahan semasa atau keperluan.

METRO

Leave a Reply