Ini sebab diberikan Najib Tukar pasukan peguam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yakin pelantikan barisan peguam baharu akan memberikan perspektif berbeza dalam pembelaan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan negara, SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penukaran barisan peguam itu dilakukan selepas Queen’s Counsel (peguam kanan dari United Kingdom), Jonathan Laidlow tidak diterima masuk untuk mewakilinya.

Najib juga menegaskan keputusan menukar barisan peguam dan memberhentikan khidmat peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd dibuatnya selepas berunding dengan peguam di Singapura dan peguam bela kanan India.

Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan pelantikan Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara dan Kaunsel (peguam), Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.



“Pelantikan itu berkuat kuasa semalam. Peguam cara terdahulu iaitu Shafee & Co dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dan peguam dalam semua kes lain membabitkan di mahkamah.

“Saya ingin merakamkan sokongan dan penghargaan kepada seluruh pasukan guaman atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil.

“Adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee & Co disingkirkan daripada kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan perubahan dalam barisan peguam pembelaan, Najib turut memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir kes di Mahkamah Persekutuan atas alasan barisan peguam baharu dilantik mengambil alih kes rayuan berkenaan.



Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap semua tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Najib dalam pembelaannya mendakwa tindakannya adalah bagi kepentingan nasional dan kini merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari, iaitu 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos depan bagi prosiding pendengaran rayuan Najib.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker