Kebakaran ‘misteri’,hotel musnah dijilat api kali ke-6 bulan ini

ALOR SETAR: Selepas lima kali dilaporkan mengalami kebakaran ‘misteri’ membabitkan beberapa bilik di bahagian tingkat atas sejak awal bulan ini, sebuah hotel di pusat bandar raya ini akhirnya musnah dijilat api, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata kebakaran kali ini adalah yang keenam dilapor membabitkan hotel dua tingkat itu dalam tempoh bulan ini saja.

Malah sebelum ini, katanya, kali terakhir hotel itu dilaporkan mengalami insiden sedemikian adalah pada pagi semalam yang membabitkan kebakaran 10 peratus di sebuah bilik dan bumbung.

Beliau memaklumkan, punca kejadian lima kebakaran terdahulu itu masih belum dapat dikenal pasti, setakat ini.

“Insiden kebakaran terkini yang berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi pula menyebabkan kemusnahan 90 peratus bangunan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, terdahulu Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.26 pagi.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Arizal Mahmud bergegas ke lokasi.

 

 

Setibanya di tempat kejadian, beliau berkata, pasukan mendapati api sedang marak sebelum operasi pemadaman segera dilakukan.

“Operasi turut dibantu lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran untuk memadamkan kebakaran dan mengelak api daripada merebak ke bangunan berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam hotel berkenaan ketika kejadian.

Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran hotel dua tingkat kelas C itu dilakukan hingga selesai sebelum tamat pada jam 3.58 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu, dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker