Kedah pertimbang sistem amaran awal bencana di Gunung Inas



ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mencadangkan supaya sistem amaran awal bencana segera dipasang di Gunung Inas di Baling, bagi mengelak risiko kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda di kawasan itu selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata pemasangan sistem itu sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan kepada penduduk untuk segera menyelamatkan diri sekiranya aliran puing berulang lagi.

“Oleh kerana kita tidak dapat jangka bencana, amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas memandangkan keadaan cuaca tidak menentu serta bentuk muka bumi dan sebagainya, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air ini berulang.

“Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk…di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan saya difahamkan pemasangan sistem amaran ini sudah di peringkat kajian,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang di Baling terjejas, termasuk 17 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu hanyut yang dibawa kepala air dari arah Gunung Inas.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu turut menyebabkan tiga sekluarga maut termasuk seorang wanita hamil.

Mengulas lanjut, Najmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang berkata, rata-rata penduduk di kawasan itu masih bimbang kejadian itu berulang selepas struktur sungai terutama di Lata Chelak, kini berubah dan dipenuhi timbunan pasir sehingga menenggelamkan batu besar.



“Apa yang berlaku di Lata Chelak, Kampung Iboi lebih kurang sama berlaku di Gunung Jerai di Yan, pada Ogos tahun lalu…cuma di sana tiada pembalakan seperti di Gunung Inas.

“Pada asasnya taburan hujan pada waktu itu memang banyak dan menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan itu juga menjadi antara faktor berlakunya kepala air pada 4 Julai lalu,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kawasan persekitaran Gunung Inas yang menjadi lokasi bencana kepala air awal bulan ini, dikesan belum stabil dan masih terdedah pada ancaman tanah runtuh.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dapatan itu hasil siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) selepas membuat pemeriksaan tapak kejadian 5 Julai lalu.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker