Melaka bakal jadi pusat data kedua terbesar negara

Ayer Keroh: Melaka bakal menjadi lokasi pembangunan pusat data kedua terbesar di negara ini, menurut Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia selepas kerajaan negeri menerima dua cadangan pelaburan digital daripada pelabur China dan Hong Kong.

“Buat masa ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri sedang membuat kajian awal mengenai penempatan yang sesuai dalam kawasan industri bagi pembangunan pusat data berkenaan.



“Pusat data ini merupakan yang kedua terbesar selepas Cyberjaya memandangkan Melaka di lokasi strategik antara Cyberjaya dan Johor serta mempunyai sambungan kabel dasar laut yang terletak di Pengkalan Balak,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) yang bertanyakan mengenai pelaburan khusus dalam pembangunan digital di Melaka.

Menjawab soalan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai sektor pelaburan yang ditumpu kerajaan tahun ini, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk membawa masuk nilai pelaburan berjumlah RM5 bilion, yang memfokus kepada pelaburan berteknologi tinggi dan juga industri yang berasaskan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai teras kemajuan pada masa akan datang.

“Pada masa sama juga, kita meletakkan keutamaan dan penumpuan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan dalam sektor industri seperti elektrik dan elektronik, automotif, aeroangkasa, minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan halal, bioteknologi, mesin dan peralatan serta peranti perubatan dan farmaseutikal,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button