PDRM sambut baik usul Subseksyen 4(5) Sosma

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan Dewan Rakyat semalam yang meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)2012 (SOSMA) dan meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM amat menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengemukakan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain membacakan RUU IPCC 2020 untuk kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, komitmen KDN dan Ahli Parlimen dalam membolehkan usul pelanjutan tempoh kuatkuasa kedua-dua undang-undang itu diluluskan adalah sokongan yang sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.



“PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Perkembangan membabitkan pelanjutan ini akan memberikan peluang untuk PDRM menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan lebih efisien demi kesejahteraan keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, PDRM turut menyambut baik usaha kerajaan ke arah penubuhan IPCC demi mengembalikan keyakinan masyarakat kepada PDRM.

Persidangan Dewan Rakyat semalam tertumpu kepada usul KDN untuk membentangkan semula lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditolak oleh majoriti ahli Parlimen pada Mac lalu.



Menurut aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat semalam, usul berkenaan berada di senarai kelima, namun tidak dapat dipastikan jika sempat dibentangkan kerana terdapat Rang Undang-Undang (RUU) berkait sistem insurans pekerjaan, keselamatan sosial suri rumah, mahkamah kehakiman dan kanun tatacara jenayah perlu dibaca untuk kali kedua.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun, ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Baru-baru ini, KDN berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh penguatkuatkuasaannya supaya tempoh tahanan 28 hari dikekalkan selama lima tahun lagi mulai hujung bulan ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button