Sambut tangisan dalam cemas

Johor Bahru: “Ini adalah detik paling berharga memandangkan selalunya saya membuat liputan kejadian seumpama ini, sebaliknya semalam saya sendiri menghadapinya apabila kakak ipar bersalin di dalam kereta,” kata Ernalisa Othman, 36.

Ernalisa berkata, kejadian berlaku ketika azan Subuh, apabila kakak ipar, Nur Farahain Ali, 33, mengalami sakit bersalin.

Menurutnya, ketika itu, hanya dia bersama kakak ipar dan abangnya Ezwan Othman, 42, di rumah manakala ibu berada di rumah saudara di Singapura.

“Saya melihat abang seperti kaku dan panik tidak tahu apa yang mahu dilakukan apabila kakak ipar semakin sakit dan menyatakan hampir nak bersalin.

“Saya menghubungi talian kecemasan namun pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) menyatakan ambulans tiada dan perlu menunggu 45 minit.

“Dalam situasi cemas, saya minta abang bawa masuk kakak ipar ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

“Namun belum sempat kami bergerak, saya sambut tangisan dan kelahiran anak saudara lelaki dalam kereta di depan rumah di Taman Saujana Plentong di sini,” katanya.

Ernalisa yang juga wartawan MalaysiaGazette berkata, ketika itu seorang pegawai perubatan memberi panduan kepadanya untuk menyambut bayi.

Menurutnya, pegawai berkenaan memintanya mengambil tali kasut dan ukur sejengkal dekat tali pusat dan ikat.

“Selepas itu saya ambil kain batik ini dan lap darah bayi dan bedung bayi yang kasih dalam keadaan bertali pusat.

“Saya cuma lakukan apa yang mampu dan cuba tenangkan fikiran.

“Alhamdulillah ibu dan anak kedua-duanya sihat,” katanya.

Ernalisa berkata, anak saudara kelimanya dilahirkan dengan berat 2.56 kilogram dan sepatutnya dilahirkan pada 11 Ogos depan.

“Saya yakin detik ini ada hikmahnya, saya sangat teruja dan terbayangkan besarnya pengorbanan seorang ibu dan kuasa Tuhan.

“Anak saudara saya yang juga cahaya mata kedua abang dinamakan sebagai Ean Esmael.

“Saya syukur dengan kelahirannya namun terkilan apabila pihak hospital memaklumkan tiada ambulans ketika waktu kecemasan dan diharap kekurangan ini dapat diatasi,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker