Skuad Bunga Raya sudah sedia bertemu Afrika Selatan

BIRMINGHAM: Persiapan pasukan ragbi tujuh sebelah kebangsaan berjalan lancar dan kini mereka sudah bersedia memulakan cabaran pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini yang akan membuka tirainya pada Khamis ini atau awal pagi Jumaat waktu Malaysia.

Pengurus pasukan, Datuk Azaddin Abdul Aziz berkata skuad Bunga Raya yang dibimbing Mohd Saizul Hafifi Md Noor dijadual bertemu Afrika Selatan dalam aksi pertama pada Jumaat ini.

Katanya, mereka memulakan latihan di United Kingdom (UK) sejak 10 Julai lalu dan berterusan sepanjang hampir dua minggu dengan menjadikan Cardiff sebagai pangkalan



“Sepanjang tempoh latihan di UK ini, kita turut mengadakan beberapa aksi persahabatan selain menyertai pertandingan tempatan bagi memantapkan pasukan.

“Kita datang ke sini (Birmingham) sejak dua hari lalu selepas berada di sana (Cardiff) sepanjang 10 hingga 12 hari lalu.

“Kini kita menjalani latihan di padang berdekatan dan mula kurangkan latihan untuk fokus kepada persiapan untuk perlawanan pertama bertemu Afrika Selatan di Stadium Coventry pada 29 Julai, bermula jam 11.46 pagi,” katanya di sini, hari ini.

Azaddin turut mengesahkan semua pemain pasukan tujuh sebelah kebangsaan berada dalam keadaan fizikal yang baik termasuk tiada kecederaan selain sudah serasi dengan keadaan cuaca di sini.



“Kita bukanlah pasukan pilihan dalam temasya ini, namun kita tak akan bagi laluan mudah kepada pasukan lawan lain. Selain Afrika Selatan dan Malaysia, Kumpulan B turut di anggotai Scotland dan Tonga,” katanya.

Skuad Bunga Raya menyertai kejohanan ragbi tempatan Sixways 7s sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kejohanan berlangsung di Stadium Sixways, Worcester, England pada Sabtu lalu menyaksikan skuad Bunga Raya berada dalam kumpulan E1 berdepan pasukan Midlands Mobs, Prostate Cymru, Gogs Raiders dan Jagerbombers International.

Dalam pada itu, antara pemain yang diberi mandat bagi membawa cabaran negara pada temasya kali adalah Muhammad Ameer Nasrun Zulkeffli, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Amalul Hazim Nasarrudin dan Muhammad Kamal Hamidi Mohd Raihan.



Pemain lain adalah Muhamad Hafiezie Sudin, Adam Arrif Alias, Mohamad Shah Izwan Nordin, Wan Azley Wan Omar, Muhammad Safiy Md Said, Muhammad Suhairi Effendi Mohd Othman, Mohammad Daim Zainuddin, Muhammad Azizul Hakim Che Oon dan Ahmad Zulhilmi Azizad.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button