87 atlet negara sudah tiba di Birmingham

BIRMINGHAM: Seramai 87 atlet dan 36 pegawai dari 14 jenis sukan sudah pun tiba di sini sehingga semalam bagi menyertai temasya Sukan Komanwel 2022 yang akan membuka tirainya hari ini.

Mereka menginap di tiga perkampungan sukan utama iaitu di Universiti Birmingham, Universiti Warwick dan National Exhibition Centre (NEC) Hotel Campus di sini, manakala pasukan berbasikal ditempatkan di Perkampungan Satelite di London.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pengurusan kontinjen negara yang diketuai Datuk Shahrul Zaman Yahya selaku Chef De Mission (CDM) dan timbalannya, Monteiro Gerard Clair berjaya menyelaraskan pelbagai aspek membabitkan kontinjen negara.

“Memang terdapat beberapa isu kecil seperti kehilangan bagasi ketika ketibaan, kelewatan proses pendaftaran dan kelewatan pengangkutan beberapa hari yang lalu, namun ia berjaya diperbaiki dan diatasi tuan rumah.

“Tahniah kepada penganjur kerana berjaya menguruskan temasya Sukan Komanwel kali ini. Setakat ini, difahamkan dua pegawai sekretariat disahkan positif COVID-19 ketika tiba.

“Mereka melalui ujian saringan penganjur dan sedang menjalani kuarantin selama lima hari sebagaimana ditetapkan. Pemain beregu badminton negara, Aaron Chia yang disahkan positif hampir dua minggu lalu di Malaysia, disahkan bebas COVID-19 ketika tiba di Birmingham,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan judo, boling padang dan ragbi negara di perkampungan sukan di University of Warwick, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Shahrul, Monteiro dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ahmad Faizal berkata beberapa pasukan yang tiba awal sudah menjalani latihan rasmi mengikut jadual ditetapkan sukan masing-masing dan peluang ini digunakan sepenuhnya atlet negara untuk mencuba kemudahan latihan dan pertandingan disediakan.

“Pasukan seperti boling padang, ragbi, ping pong, triatlon, berbasikal trek, gimnastik, renang, tinju, skuasy dan para bola keranjang berbasikal roda akan memulakan saingan pada 29 Julai ini. Kita yakin mereka mampu mempamerkan prestasi terbaik,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker