Dalang sindiket membekal, bawa masuk tukang urut warga Thailand ditahan

Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki tempatan yang menjadi dalang satu sindiket membekal dan membawa masuk tukang urut warga Thailand terbongkar dalam siri operasi khas di sekitar Johor Bahru, Johor pada 21 hingga 23 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang juga dalang utama sindiket itu serta 27 individu lain.

“Dalam operasi pada 21 Julai lalu, kami mengesan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu oleh dalang utama di Taman Pelangi, Johor.



“Pasukan operasi mengekori dan menahan kereta itu untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat empat wanita warga Thailand berada di dalam kenderaan bersama lelaki berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati semua wanita berkenaan tidak memiliki pas yang sah dan mereka dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Thailand melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di kediaman dalang utama dan berjaya merampas beberapa dokumen.



“Dokumen yang dirampas itu berkaitan aktiviti sindiket berkenaan yang membawa masuk serta membekalkan tukang urut warga asing ke pusat urut refleksologi dan spa di Johor Bahru dan sekitar kawasan selatan tanah air.

“Susulan itu, pasukan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat dua lagi serbuan di premis pusat urut dan spa di Taman Austin dan Taman Abad, Johor Bahru yang disyaki ada kaitan dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan berkenaan, JIM menahan 18 wanita dan 3 lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut selain dua lelaki tempatan yang juga penjaga premis berusia antara 20 hingga 52 tahun.

“Modus operandi sindiket itu adalah mengatur kemasukan dan membekalkan tukang urut warga Thailand untuk bekerja di pusat urut menggunakan pas lawatan sosial di sekitar Johor dan negeri berhampiran.



“Sindiket itu menggunakan kenalan rapat yang berada di Thailand untuk mempengaruhi lelaki dan wanita asing terbabit dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai tukang urut di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan dilakukan juga mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral turut dijalankan oleh sindiket berkenaan di sebalik perkhidmatan urut.

“Selain itu, sindiket itu turut menjalankan aktiviti menghantar pulang mana-mana warga asing yang bermasalah atau warga tempatan yang mahu melepasi sempadan negara melalui laluan tidak sah.



“Siasatan awal dilakukan mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi setiap tukang urut yang diuruskan dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan.

“Majikan pusat-pusat urut yang terbabit dengan sindiket ini pula disyaki mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dengan menggajikan tukang urut haram,” katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button