Himpunan turun harga barang: Kertas siasatan akan diserah esok



Kuala Lumpur: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan turun harga barang di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, 27 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengenai perhimpunan berkenaan.

“Setakat ini, kita (polis) sudah rakam keterangan 25 individu.

“Pada hari ini, dua lagi individu akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan menjadikan keseluruhan 27 individu diambil keterangan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut, esok.

Sabtu lalu, kira-kira 100 individu menyertai himpunan itu di Jalan TAR dan cubaan mereka untuk berarak ke Dataran Merdeka gagal selepas disekat polis.



Perhimpunan berkenaan dipercayai bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker