Isu sampah dalam sungai membimbangkan

Johor Bahru: Jumlah sampah yang dibuang ke dalam sungai bandar raya ini semakin membimbangkan, sehingga pernah mencapai kutipan 80 tan sebulan.

Mendedahkan perkara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Norazam Osman berkata, purata 50 tan sampah sebulan dikutip agensi berkenaan di beberapa sungai utama, anak sungai serta saliran parit pinjam bandar raya ini.

Katanya, tahap kesedaran masyarakat yang masih tidak berubah kerana gemar membuang sampah ke dalam sungai sebenarnya mampu menimbulkan bencana terutama banjir kilat.

“Isu sampah yang dibuang ke sungai-sungai di bandar raya ini membimbangkan kerana ia kekal konsisten banyak dan tiada pengurangan pun di sebalik pelbagai langkah pengutipan sampah dan aktiviti kesedaran awam yang dilakukan.

“Masyarakat yang tidak bertanggungjawab ini gagal memahami bahawa sungai bukan sahaja menjadi kawasan tebatan banjir yang mengalirkan air hujan sekiranya hujan lebat berlaku malah adalah sumber air utama kita.

“Apa yang paling dikesali hampir kebanyakan sampah-sarap yang dikutip adalah plastik sampah hitam yang siap diikat menandakan segelintir masyarakat menganggap sungai sebagai tong sampah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB,di sini,hari ini.

Hadir sama,Ketua Whip Ahli Majlis MBJB, Datuk Mohamad Dolmat dan Timbalan Setiausaha MBJB,Nazatul Shima Mohamad.

Terdahulu, Mohd Norazam menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBJB bersama Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Johor.

Mengulas lanjut,Mohd Norazam berkata, MoU itu bagi membolehkan pelaksanaan kerja pelengkap untuk pencegahan banjir di dalam kawasan MBJB terutama bagi pembersihan sungai-sungai di bandar raya ini.

“Melalui MoU ini, MBJB akan melaksanakan kerja pelengkap bagi pencegahan banjir seperti pembersihan kiambang di parit pinjam; pembersihan sampah sarap dan penggalian di parit pinjam, sungai, Selat Johor dan kolam tadahan selain pembaikan tebing; penggantian dan pembaikan pagar keselamatan dan lain-lain mengikut keperluan dan keadaan semasa.

“Pelaksanaan kerja itu akan dilaksanakan di kawasan sungai, parit pinjam, Selat Johor dan kolam tadahan di bawah seliaan JPS Johor yang terletak di dalam kawasan pentadbiran MBJB.

“Bagi sungai ia membabitkan Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Plentong, Sungai Tiram, Sungai Danga dan Sungai Melayu.

“Parit Pinjam membabitkan Parit Pinjam Kampung Pasir, Parit Pinjam Kampung Sri Jaya dan Parit Pinjam Kampung Sri Serdang manakala Selat Johor pula membabitkan Pantai Lido, Pantai Stulang dan Pantai Senibong,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker