Penceramah bebas diserah kepada polis Perak

Kuala Lumpur: Penceramah bebas yang disyaki merogol perempuan berusia 14 tahun diserahkan kepada polis Perak, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia bertujuan membantu siasatan berhubung kejadian rogol yang dilaporkan turut berlaku di negeri itu.

“Reman penceramah bebas itu untuk kes di Kuala Lumpur sudah tamat semalam dan suspek diserahkan kepada polis Perak untuk melengkapkan siasatan.



“Kita (polis) sedang lengkapkan kertas siasatan dan dijangka akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada minggu ini.

“Kalau tiada masalah harap dapat keputusan (tuduh) daripada TPR dan selepas siasatan di Perak selesai, kita boleh mengambil dia semula untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Azmi berkata, 36 pegawai kanan dan pegawai rendah polis Kuala Lumpur yang masih berkhidmat serta 162 pesara polis menerima penganugerahan PJPN.



Beliau berkata, penganugerahan itu antara bentuk penghargaan kepada mereka bersempena Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai ini.

Katanya, kira-kira 400 pegawai dan pesara polis dijangka menerima pingat sama dalam beberapa lagi sesi istiadat penganugerahan yang dijadualkan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button