PN kecewa PM tak bersungguh penuhi terma penting perjanjian – Hamzah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) kecewa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam tadi yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU.

Mesyuarat dihadiri presiden semua parti komponen PN, iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan ahli-ahli MT gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan.

“Mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya.

Dipercayai, antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada 2 Julai lalu, Muhyiddin mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk jawatan TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin pada Ogos 2021 mendapat sokongan PN.

Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat semalam juga antara lain menetapkan majlis pelancaran PN Terengganu pada 30 Julai, disusuli penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos sempena ulang tahun kedua gabungan itu.

“Mesyuarat juga membuat beberapa ketetapan penting lain bagi memperkemaskan kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” kata Hamzah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker