Rahmat nafi terima wang UKSB bagi pihak Tun M

KUALA LUMPUR: Tan Sri Rahmat Abu Bakar, yang didakwa menerima RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), menafikan menerima wang berkenaan bagi pihak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rahmat menyifatkan dakwaan oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Song Sun di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Isnin lalu berunsur palsu, fitnah dan berniat jahat.

“Saya ingin tegaskan bahawa kenyataan di mahkamah (oleh David) seperti yang dilapor berunsur palsu, fitnah dan berniat jahat, kononnya saya mewakili Tun Dr Mahathir dan wang sebanyak RM2.6 juta adalah untuknya (Dr Mahathir).

“Duit sebanyak itu tidak diberi kepada saya pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Isnin lalu, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, UKSB menyerahkan sumbangan dana politik RM2.6 juta kepada Dr Mahathir.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, David berkata, pihaknya memberi dana RM1.3 juta kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Pengerusi BERSATU itu menerusi dua transaksi pada Ogos dan September 2018, untuk kegunaan parti berkenaan.

Beliau mendakwa, Dr Mahathir menerima sumbangan itu menerusi Rahmat, iaitu anak saudaranya, dengam kod nama ‘Kedahan’ digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB.

Rahmat berkata, Dr Mahathir tidak terbabit dan tidak tahu mengenai kaitan beliau dengan UKSB.



“Jika tuduhan palsu in tidak ditarik balik oleh David Tan Siong Sun, saya akan ambil tindakan sewajarya,” katanya.

Rahmat berkata, beliau dilantik sebagai pengerusi dan penasihat kepada UKSB pada 13 Julai 2018, selain ditawar untuk mengambil alih 50 peratus saham syarikat UKSB.

Beliau turut dijanjikan imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat, yang diterima dalam bentuk wang tunai, namun beliau kemudian mengembalikan wang itu kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya.

“Bagaimanapun, pada 14 November 2018, saya meletak jawatan sebagai pengerusi dan penasihat. Ini diperakui dalam surat Datuk Fadzil Ahmad, Pengarah Urusan UKSB kepada saya.

“Saya ambil tindakan letak jawatan selepas dinasihatkan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang ketika itu menjawat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara.

“Saya akur pada nasihat itu berdasarkan kepada maklumat bahawa UKSB ini adalah syarikat bermasalah. Terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat,” katanya.

Selain itu, Rahmat berkata, beliau juga membatalkan niat untuk mengambil alih apa juga kepentingan dalam syarikat berkenaan dan semua tindakan yang diambilnya tercatit dalam surat-menyurat antara beliau dengan pihak berkaitan.

“Ini berbeza dengan kenyataan yang dibuat David Tan Song Sun, yang bersandarkan kepada buku lejar, yang menjadi rekod pengurusan UKSB dan tidak ada bukti surat atau pun dokumen.

“Justeru, sekali lagi saya tegaskan bahawa kenyataan berkenaan sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta adalah palsu, fitnah dan berniat jahat,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker