Tiada lagi MoU diperbaharui antara kerajaan, PH

Kuala Lumpur: Tiada lagi perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) yang akan diperbaharui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ketetapan itu sudah dipersetujui kedua-dua pihak dan MoU sebelum ini akan terpakai sehingga pembubaran Parlimen.

Katanya, pertemuan antara kerajaan yang diwakili Ismail Sabri dan pemimpin utama PH sudah diadakan baru-baru ini.

“Sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat, masih boleh kita teruskan tapi kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.



“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baru sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), Umno sudah buat ketetapan untuk tidak menyambung (MoU) lagi.

“Semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru namun persefahaman boleh teruskan bagi menjamin kestabilan politik dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tarik 31 Julai seperti yang dimeterai dalam MoU membawa maksud tiada pilihan raya boleh dibuat sebelum tarikh itu.



“Itu yang diperjelas dan MoU akan tamat sebaik Parlimen dibubarkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persefahaman mengenai Akta Pendanaan Politik juga sudah dipersetujui antara mereka termasuk Umno.

“Dalam Perhimpunan Agung Umno kita dah bersetuju supaya akta pendanaan politik mesti kita bentangkan.

“Itu keputusan Umno dan saya difahamkan pembangkang juga ada pandangan sama, akta berkaitan pendanaan politik perlu kita adakan,” katanya.

Perdana Menteri juga memaklumkan pilihan raya tidak semestinya akan diadakan selepas Akta Pendanaan Politik diluluskan Dewan Rakyat.

“C (PRU) boleh diadakan bila-bila masa jika saya anggap masa sesuai untuk dibubarkan, saya bubarkan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker