Tun M: Lompat parti harus dibenarkan

KUALA LUMPUR: Lompat parti, walaupun tidak digalakkan perlu dibenarkan selepas pilihan raya umum untuk membolehkan kerajaan Persekutuan dibentuk, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (PEJUANG-Langkawi).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika tiada parti yang mampu memperoleh kerusi minimum 112 di Dewan Rakyat, lompat parti selepas pilihan raya umum boleh memastikan kestabilan politik di negara ini.

“Selepas pilihan raya (umum), (jika) tidak ada satu parti yang mendapat lebih 50 peratus kerusi (dalam Dewan Rakyat) yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, maka kita mungkin memerlukan satu lagi pilihan raya.

“Jika kerajaan minoriti dibentuk dalam tempoh itu, Dewan Rakyat boleh membuat ketetapan dengan mengeluarkan undi tidak percaya.



“Ya, kita boleh mengadakan pilihan raya lain tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah. Inilah sebabnya kita perlu membenarkan lompat parti, supaya kerajaan boleh dibentuk dan bukannya mengadakan pilihan raya lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PEJUANG berkata, proses lompat parti selepas pilihan raya umum perlu termasuk mendapatkan kelulusan dan sokongan majlis tertinggi pelbagai parti.

Katanya, proses itu bagaimanapun perlu mengikut perlembagaan parti.

“Semoga rang undang-undang ini akan mendapat sokongan dua pertiga supaya tidak ada lagi situasi di mana kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat akan digulingkan, manakala parti yang ditolak oleh pengundi akan berkuasa.”

Dr Mahathir merujuk kepada rampasan kuasa Februari 2020, yang digelar “Langkah Sheraton”, yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tumbang akibat lompat parti dan parti yang tewas berjaya merampas pentadbiran kerajaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi itu juga yakin RUU itu dapat melindungi mandat rakyat, yang memilih wakil dan kerajaan.

“Saya percaya RUU ini akan mengakhiri krisis politik yang berlaku sejak dua tahun lalu, yang mana beberapa wakil rakyat melompat parti menyebabkan ‘pihak yang menang kalah dan pihak yang kalah menang’.

“Sekarang, kita kena pinda Perlembagaan negara kerana selepas rakyat memilih kerajaan, ada tindakan beberapa orang melompat daripada parti kerajaan kepada parti lawan.

“Tindakan melompat itu menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat, tidak lagi menjadi kerajaan. Ini bermakna tidak ada demokrasi dalam negara kita kerana orang yang kalah menang dan orang yang menang kalah.

“Sebab itu, pindaan ini perlu dilakukan supaya tidak akan berlaku lagi situasi di mana kerajaan yang dipilih rakyat, tidak lagi lagi berkuasa,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker