Tengku Zafrul di Davos, mesyuarat dua hala dengan Ericsson, Microsoft

DAVOS (Switzerland): Ericsson Group dan Microsoft antara syarikat multinasional yang terbabit dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Ericson diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Borje Ekholm, manakala Microsoft pula diwakili Naib Presiden Eksekutif Jean-Philippe pada mesyuarat itu yang menumpukan kepada potensi pelaburan dan pengembangan.

Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Nobuhiko Sasaki serta Ketua Pegawai Eksekutif Dow Jones & Company, Almar Latour.

Ditanya mengenai rentetan pertemuan dua hala yang telah diadakan sejak beliau tiba di sini pada Isnin, Tengku Zafrul menyifatkan ia sesuatu yang hebat setakat ini.

“Seperti yang anda ketahui, WEF 2023 dihadiri kira-kira 2,700 pemimpin dari 130 negara, termasuk 52 ketua negara. Saya mahu mengadakan lebih banyak mesyuarat dua hala terutama dengan rakan sejawatan saya,” katanya pada luar acara WEF 2023 di bandar peranginan ski di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini, perbincangan dalam mesyuarat dua hala itu menumpukan peluang-peluang di Malaysia.

“Sesetengah syarikat yang bertemu dengan kita sebenarnya telah melabur di Malaysia, tetapi mahu memastikan pelaburan mereka dilindungi. Kita juga berbincang mengenai potensi untuk mengembangkan operasi dan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, perbincangan juga menyentuh perkara yang boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat multinasional ini.

“Jadi, menerusi kerajaan baharu, kita mahu melihat kestabilan dan kita juga bercakap tentang prospek Malaysia. Selain itu, syarikat Malaysia sedang berkembang ke luar negara, oleh yang demikian syarikat multinasional ini boleh membantu dalam usaha itu,” katanya.

Mengenai pembukaan ruang ‘Malaysia House’ buat kali pertama di Davos sempena WEF, beliau berkata, ia adalah pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.

“Negara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lalu. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Tengku Zafrul kini mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023 dengan antara acara berjadual yang akan disertainya ialah sesi mengenai keburukan fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan Tengku Zafrul akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua ahli panel bagi mengupas mengenai ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker