Kejohanan Jet Ski tawar RM50,950

Kuala Berang: Penganjuran Kenyir Jet Ski Championship 2022 yang diadakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir, di sini bakal menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, pihaknya yang bertindak sebagai penganjur menjangkakan seramai 15,000 pengunjung akan mengunjungi Tasik Kenyir sepanjang tiga hari acara itu berlangsung bermula hari ini.

Beliau berkata, acara yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM50,950 berserta piala dan medal itu disertai seramai 100 peserta dari Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Johor, Kelantan, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya Labuan dan Terengganu.



Katanya, acara berkenaan turut disertai peserta dari negara sekitar benua Asia seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Jepun.

“Pengurusan Pulau Poh sudah diserahkan kepada Terengganu Inc oleh kerajaan negeri dan kita sudah merancang beberapa acara besar dalam kalendar Terengganu Inc Challenge Series (TICS) bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke Tasik Kenyir selain pembinaan hotel lapan tingkat mengandungi 150 bilik di pulau Ini yang dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya Mac tahun depan.

“Kenyir Jet Ski Championship 2022 Akan menjadi acara tahunan kalendar pelancongan Terengganu. Menerusi TICS, kita juga akan menganjurkan sukan mountain bike pada Oktober dan Golden Monsoon Ride (GMR) pada Februari 2023.



“Bagi dua acara berkenaan kita mensasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dan setakat ini kita menerima sambutan baik daripada peminat sukan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kenyir Jet Ski Challenge 2022 yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Pulau Poh, Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Menurut Burhanuddin, sukan berkenaan akan dipertandingkan dalam tujuh kategori iaitu Pro-Am Round About (R/A) 1100 Limited, Pro-Am R/A 1100 Open (2-Stroke), Pro-Am Endurance R/A Open, Pro-Am R/A Limited, Expert Veterans R/A Limited (40+), Expert Sport (2-Stroke) dan Junior 13-15 R/A 1100 Limited.



Katanya, penganjuran suka berkenaan mendapat pengiktirafan badan induk sukan jet ski dunia Olympic Council of Asia dan International Jet Sports Boating Association (IJSBA).

“Menerusi sokongan ‘International Jet Sports Boating Association’ melalui ‘Thailand Jet Sports Boating Association’, buku 2021 Rules & Regulations, Regulated Jet Sports Races And Safety) akan digunapakai dalam kejohanan ini,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button