Reformis Sebenar Institusi Politik Negara

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan 209 Ahli Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Kata Pengarah Komunikasinya Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, ini merupakan komitmen jelas Perdana Menteri dan UMNO dalam reformasi dan memulihkan institusi politik negara berhubung prinsip moral kepartian dan pengkhianatan mandat rakyat di kalangan ahli politik yang perkotak-katikkan di negara ini.

“Lompat parti merupakan faktor utama rakyat hilang kepercayaan pada ahli politik di negara ini. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli politik ini hanya menzahirkan nilai diri mereka yang bagaikan ‘sesumpah’ dan sedia berubah warna demi kepentingan politik peribadi mereka.

“Tambahan pula ahli politik kita dihantui agenda ‘scheme of things’ oleh pihak tertentu yang menggoda mereka dengan pangkat, jawatan dan wang ringgit atau mengugut mereka dengan pendakwaan terpilih dan pelbagai tekanan.

“RUU ini dilihat berupaya mencegah ahli politik dari meletakan tanda harga diri dan kedudukan tersebut pada masa akan datang. Jelas ianya mampu membersihkan imej dan persepsi profesion ahli politik di mata rakyat khususnya orang muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seterusnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada 209 Ahli Parlimen termasuk ‘katak-katak politik’ yang menyokong RUU berkenaan semalam.

“Sekali gus menandakan tindakan segelintir ahli politik yang melompat parti sebelum ini adalah bertentangan dengan prinsip moral dan budaya politik yang sebenar.

“Semoga politik Malaysia kembali dilihat bersih dan UMNO terus menjadi peneraju reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara dan kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker