Naik gaji atau protes jalan, KSN jawab ‘ugutan’ CUEPACS

KUALA TERENGGANU: Gesaan CUEPACS pada Khamis lalu supaya kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan, mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Ada menyifatkan tuntutan itu sebagai tidak bertanggungjawab seperti pandangan diberikan pakar perundangan, Datuk Salehuddin Saidin yang berpendapat cadangan untuk melakukan protes dengan berpiket di Putrajaya akan menyebabkan pentadbiran negara terjejas.

Pihak lain seperti bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah pula melihat gesaan CUEPACS itu demi memperjuangkan hak ahli kesatuan, malah amalan semakan gaji untuk penjawat awam bukan perkara baharu dan sepatutnya dilakukan tiga atau lima tahun sekali.

Menjawab isu berkenaan hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat pada Isnin ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan Isnin ini untuk melihat kemungkinan atau mengkaji dan meneliti apa juga permohonan yang dituntut CUEPACS. Kita minta semua penjawat awam bersabar.

“Saya memberi jaminan akan mengkaji dan meneliti setiap tuntutan dikemukakan CUEPACS,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini.

Mohd Zuki, 60, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri pada majlis itu yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Bayas, di sini, menerima hadiah wang tunai RM20,000, piala dan sepasang persalinan.

Ditanya mengenai protes jalanan yang dirancang CUEPACS jika tuntutan kesatuan itu tidak dipenuhi, Mohd Zuki enggan mengulas.

Khamis lalu, Adnan menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) atau berisiko berdepan protes jalanan.

Tuntutan itu, katanya lagi, bagi meringankan beban penjawat awam, terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Presiden CUEPACS itu juga memaklumkan, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

“Jika gaji mereka tidak disemak sebelum Parlimen dibubarkan, CUEPACS bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam,” kata Adnan sambil menambah, perhimpunan itu juga akan menuntut pengurangan kos barangan sebelum PRU-15 akan datang.

Cadangan lain termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam; dua kenaikan setiap tahun; sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama; elaun pelbagai tugas; elaun batik dan pakaian kebangsaan; mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera.

Selain itu, tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos serta menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini.

Menurut Adnan lagi, struktur gaji semasa penjawat awam sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan zaman semasa.

Dalam reaksinya sehari kemudian, KPPA, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, dilaporkan berkata pihaknya sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker