Nilai kebersamaan, muafakat diterapkan dalam sambutan Maal Hijrah tahun ini

KUALA LUMPUR: Tatkala lebih dua tahun negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19, sambutan Maal Hjirah 1444H/2022M menagih kepada nilai kebersamaan dan permuafakatan dalam kalangan rakyat untuk menghadapinya sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Bertitah perkara sama, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan mahu peristiwa Hijrah Rasullullah SAW menjadi panduan dalam membina negara stabil dan gemilang sesuai tema tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.

Dalam majlis itu semalam, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Tan Sri Othman Mustapha diumum Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, manakala Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Okhna Datuk Dr Othsman Hassan dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.



Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyentuh soal keselamatan bekalan makanan dan menggesa langkah strategik diperkenalkan negara, selain bertitah bahawa rakyat wajib berhijrah daripada terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dengan memulakan usaha menambah pengeluaran makanan.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Datuk As’ad Awang di samping Anugerah Khas Ar-Ridzuan kepada Setiausaha Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Sirat Abdullah.

DI JOHOR, Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru berkata hijrah perlu menjadi titik tolak dan pemangkin perubahan kepada kesejagatan ajaran Islam di seluruh dunia.

Pada tahun ini, Anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor diberikan kepada Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor Datuk Amir Danuri, 72, yang juga pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.



Di TERENGGANU, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang berasal dari Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Menariknya di PAHANG, pahlawan Pahang Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd Salam dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pahang dengan anugerah diterima cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, yang menerima cek berjumlah RM10,000, trofi dan sijil.

Turut menerima anugerah ialah Pengarah Hospital Pekan Dr Fadilla Norli Muhammad yang menerima Anugerah Inovasi Kakitangan (kerajaan/swasta/badan bukan kerajaan/institusi pengajian tinggi) serta Jabatan Penyiaran Pahang selaku penerima Anugerah Inovasi Jabatan.

Di MELAKA, Tiga belas tokoh menerima anugerah Maal Hijrah disampaikan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam pada majlis sambutan di Dataran Pusat Islam.



Penerima anugerah utama tokoh Maal Hijrah Melaka iaitu Anugerah Abu Bakar As-Siddiq ialah Pengerusi Yayasan Angin Ahmar Melaka Datuk Hasnah Salam.

Di SABAH, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Sabah pada perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sabah diadakan di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah.

Di SARAWAK pula, Sambutan Maal Hijrah berlangsung secara tidak berpusat tahun ini dengan aktiviti-aktiviti dilaksanakan di beberapa tempat di negeri itu.

Acara paling besar merupakan Festival Maal Hijrah yang diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak yang telah bermula sejak semalam menerusi upacara menaikkan bendera Maal Hijrah selesai solat Jumaat di masjid berkenaan dan akan berlangsung sehingga esok.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button