11 ditahan ambil upah simbah cat, khianat dengan api



Johor Bahru : Ingatkan mereka pekerja Ah Long yang diupah menyimbah cat atau khianat dengan api, rupanya mereka juga peminjam wang.

Itu modus operandi terbaharu dilakukan dua sindiket pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) apabila menggunakan peminjam mereka sendiri untuk membuat ugutan dengan menyimbah cat atau mengkhianat menggunakan api seperti yang biasa dilaporkan.

Sindiket ini akan mengupah peminjam mereka yang tidak mampu membayar semula pinjaman untuk melakukan kerja menyimbah cat dan khianat dengan api yang kemudiannya upah itu ditolak sebagai pembayaran semula daripada hutang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, modus operandi itu dikesan apabila polis berjaya menahan 11 individu termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Indonesia antara jam 4 petang, Khamis lalu hingga 4.30 petang kelmarin.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan itu mengaku dibayar upah antara RM450 untuk tugasan menyimbah cat atau RM800 untuk tugasan khianat dengan api seperti membakar kenderaan.

“Mereka terjebak menjadi ahli kumpulan penyimbah cat ini apabila mereka ini membuat pinjaman Ah Long dan tidak mampu bayar dan tidak ada kerja dan untuk menjelaskan hutang mereka itu kemudian mereka digunakan untuk membuat kerja simbah cat atau bakar kenderaan, lalu mendapat upah.

“Tetapi, upah ini akan ditolak daripada baki hutang mereka,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek yang berusia antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Iskandar Puteri dan Pelangi Indah di sini, yang mana hasil siasatan awal mendapati mereka aktif melakukan perbuatan itu sejak Mei lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 17 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM1,295, pakaian, kasut dan selipar, tiga kereta, sebuah motosikal, resit perjanjian pinjaman sewa kereta, kad akses dan 10 plastik berisi cat warna merah.

Kamarul Zaman berkata, dengan tangkapan kumpulan itu yang terdiri daripada dua sindiket, polis berjaya menyelesaikan 13 kejadian simbah cat dan khianat dengan api di seluruh negeri ini dan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Kita masih lagi meneruskan usaha mengesan ahli-ahli kumpulan ini yang kita percaya masih ada lagi yang bebas di luar sana,” katanya.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket pinjaman wang tanpa lesen itu pula, Kamarul Zaman berkata, sindiket itu mengiklankan tawaran pinjaman wang di Facebook dengan menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila peminjam tertarik dan memberi maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal, sindiket akan memasukkan wang antara SGD1,000 hingga SGD3,000 ke dalam akaun peminjam walaupun tidak dipersetujui oleh peminjam.

“Sindiket kemudian akan memaksa peminjam untuk membuat bayaran semula dengan kadar faedah yang tinggi dan sekiranya mereka enggan membayar, sindiket akan membuat ugutan dan seterusnya melakukan perbuatan khianat simbah cat atau dengan api bagi menakutkan peminjam dan keluarga di Malaysia,” katanya.

Semua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker