9 termasuk remaja perempuan 17 tahun didakwa tawar pinjaman tak wujud

BATU PAHAT: Sembilan individu termasuk seorang remaja perempuan 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud pada Julai lalu.

Muhamad Muslim Hamidi, 24; Muhammad Qamarul Jafree, 25; Wong Jong Sin, 23; Mohamad Shahrul Affendy Kamarulzaman, 24; Tan Jun Fatt, 18; Siti Nur Fadilah Abdul Rahman, 19; Huda Nadiela Hashim, 19; Muhammad Zulfaizzat Zakaria, 30; dan remaja berusia 17 tahun itu, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Lapan tertuduh kecuali remaja itu kemudiannya dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Majistret membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,000 kerana kesnya akan disebut semula pada 21 September nanti.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa bersama-sama sebagai satu pakatan jahat dengan melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang iaitu tipu pinjaman tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Jambu Air, Taman Sentosa, Batu Pahat, antara 1 Julai sehingga 17 Julai 2022.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Hooi Tsae Yun.

Terdahulu, Hooi memohon supaya hukuman denda minimum dikenakan ke atas kesemua anak guamnya selepas mereka mengaku bersalah dan terdiri daripada pesalah muda yang tidak mempunyai kesalahan lampau.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker