Kedai runcit jual arak seludup diserbu

Johor Bahru: Taktik seorang warga emas berselindung di sebalik kedai runcitnya bagi menjual arak berjenama terkenal secara haram terbongkar dalam serbuan, tengah malam tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata polis berjaya membongkar kegiatan haram warga emas berusia 60 tahun itu hasil risikan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Katanya, hasil serbuan dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah malam di premis kedai runcit itu, polis berjaya menemui pelbagai jenama arak terkenal bernilai RM1.1 juta selain menahan warga emas berkenaan dan seorang pembantu kedai warga asing berusia 30 tahun.

“Pemeriksaan yang dibuat membawa kepada penemuan 24 botol arak dan 1,274 karton arak pelbagai jenama. Menerusi siasatan awal, kita percaya kegiatan haram ini sudah berlangsung kira-kira empat bulan.

“Modus operandi warga emas itu menyimpan semua arak seludup berkenaan di stor tak sampai 100 meter di belakang kedai runcit itu.

“Dia kemudian hanya menjual arak seludup itu kepada pelanggan tetap dikenali sahaja bagi mengelakkan perbuatan terbongkar dan dihidu pihak berkuasa.

“Warga emas terbabit mengaut untung dua kali ganda apabila menjual arak seludup itu pada harga pasaran biasa kerana tidak membayar cukai walaupun membeli arak berkenaan pada harga lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin dan Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Kamarul Zaman berkata, warga emas itu bersama pembantu kedai warga asing itu direman empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, polis turut berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu minyak diesel dan rokok seludup dalam tiga serbuan berasingan di Kulai, Iskandar Puteri dan Batu Pahat.

Katanya, operasi yang dijalankan antara 28 Julai hingga awal pagi tadi menahan 15 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 53 tahun.

“Semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 117,600 liter minyak diesel bernilai RM191,240, 15 buah lori, sebuah lori tangki, 18 tangki minyak, enam pam minyak dan hos dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.5 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, polis akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan arak yang menyebabkan kerugian kepada hasil dalam negara.

“Kita memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit dalam perlanggaran undang-undang ini agar menghentikan kegiatan ini atau diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

“Masyarakat setempat diharap akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti sebegini supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.

METRO

Leave a Reply