Noh Omar mahu tawan semula Selangor

Shah Alam: Barisan Nasional (BN) Selangor berharap pengalaman menjadi pembangkang di peringkat Pusat tidak berulang lagi sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, BN Selangor perlu bangkit semula bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti keramat itu.

“Apa juga yang kita buat, (itu akan) tentukan kemenangan kita. Saya ingat sekali sudah kita pembangkang (di peringkat Pusat). Lepas ini janganlah kita jadi pembangkang.



“Apabila kita kalah di Pusat, kalah di negeri, baru kita rasa bahawa pahitnya kita jadi pembangkang.

“Hari ini kita datang konvensyen dengan harapan kita akan bangkit semula, bukan sahaja bangkit semangat. Kita akan bangkit dan ada peluang cerah untuk menangi semula negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya ketika berucap di Konvensyen BN Selangor 2022, di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini hari ini.

Noh turut mengimbas semula kegagalan BN membentuk kerajaan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebabkan tiada peruntukan (untuk membantu rakyat) disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

“Sebelum ini walaupun kita pembangkang dalam kerajaan negeri di Pusat kita berkuasa (jadi kerajaan).



“ADUN kita tidak dapat peruntukan, Pusat bagi peruntukan bagi ADUN kita. Jadi kita tidak berapa nak merasa jadi pembangkang (ketika itu),” katanya.

Noh juga mengingatkan ahli parti perlu ikhlas dalam meneruskan perjuangan kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh kemenangan.

“Kalau kita ikhlas dalam perjuangan, bersatu serta berpegang pada cogan kata iaitu kesepaduan dan kestabilan, insya-Allah kita akan terus bangkit dan akan ada peluang menang dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap ahli parti membuang tanggapan buruk dan dakwaan kewujudan sesetengah kluster dalam komponen itu supaya mereka bekerjasama bagi memenangkan parti.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button