Pasangan suami isteri buntu cari wang untuk rawatan anak hidap kanser

Alor Setar: “Saya buntu memikirkan masalah kewangan dialami, anak disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat, suami pula dibuang kerja kerana banyak mengambil cuti menjaga anak sakit,” kata Intan Shakira Azhar, 25.

Menurut Intan Shakira, anak tunggal mereka, Muhammad Hadi Rafie Muhammad Khidhir, 2, disahkan menghidap kanser itu (ketumbuhan dalam perut) sejak April lalu menyebabkan mereka terpaksa berulang alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) rawatan.

Katanya, suaminya, Muhamad Khidhir Johari, 26, sebelum ini bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di bandar raya ini tetapi selepas diberhentikan kerja, dia hanya duduk di rumah.

“Kadang-kadang suami turun kutip barangan seperti cerek, alat elektrik terbuang di tong sampah dan balik ke rumah untuk membaikinya.

“Dia kemudian menjual semula barangan itu selepas siap dibaiki dan wang yang diperoleh itu digunakan untuk makan minum harian kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Seri Gemilang, di sini, hari ini.

Intan Shakira berkata, sejak itu juga mereka tidak dapat membayar rumah sewa yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, anaknya mula dikesan menghidap kanser itu apabila demam berpanjangan sehingga sebulan menyebabkan dia dan suami membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

“Anak kami dimasukkan ke wad selama tiga hari dan doktor hanya memberi ubat tambah darah ketika itu sebelum dibenarkan pulang.

“Namun tidak lama kemudian Muhammad Hadi demam semula dan ditambah pula dengan sakit perut serta sembelit menyebabkan kami membawanya semula ke HSB.

“Doktor beritahu usus anak tersumbat dan diberi ubat sebelum dibenarkan pulang tetapi esoknya saya dapati terdapat ketulan di bahagian pinggang sebelum membawanya sekali lagi ke hospital,” katanya.

Menurut Intan Shakira, anaknya kemudian menjalani ujian X-ray dan doktor mengesahkan ketulan itu adalah kanser selain darah dalam badannya juga tidak normal dan perlu dirujuk ke HPP untuk tindakan lanjut.

Katanya, ketika itu anaknya disahkan positif Covid-19 menyebabkan pembedahan memasukkan kemopod terpaksa ditangguh dan mengambil masa dua bulan.

“Sekarang ini anak saya sudah tujuh kali menjalani rawatan kemoterapi di HPP dan doktor selepas perut anak saya makin membesar dan kanser itu sudah merebak ke bahagian kaki, tulang paha kanan dan lutut kiri kanannya,” katanya.

Menurutnya, doktor memberitahu anaknya perlu kemoterapi tambahan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali untuk mengecutkan bengkak itu sebelum menjalani pembedahan lain.

Katanya, namun disebabkan kekangan kewangan, dia dan suaminya terpaksa berhutang membayar bil hospital selain terpaksa meminjam kereta rakan setiap kali hendak ke Pulau Pinang.

“Anak pula hanya minum susu formula khas yang agak mahal dan perlu dibeli dua minggu sekali kerana selepas kemoterapi dia tidak berselera makan,” katanya.

Intan Shakira berharap ada pihak yang sudi membantu mereka sekeluarga dan menghubunginya di talian 017-5148736 atau 019-4017430 atau melalui akaun bank 7626653826 CIMB milik suaminya Muhamad Khidhir Johari.

Sementara itu, Cancer Survivor Malaysia (CSM) membantu menghulurkan sumbangan wang tunai kepada keluarga itu yang disampaikan Pengerusinya, Zuraini Kamal, hari ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker