Pok Hod bukan tak ada duit, tapi suka kutip barang lusuh

Tumpat: “Bukan tak ada duit, tapi sayang nak tinggalkan kerja ni sebab dah bertahun-tahun kutip besi buruk dan barangan lusuh,” kata warga emas, Hod Ahmad, 72.

Baru-baru ini tular gambar warga emas itu bersama isteri serta anaknya mengutip barangan lusuh menggunakan beca sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama warga net.

Lebih dikenali sebagai Pok Hod, dia mengakui setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu bersama isteri, Meriam @Leha Hamid, 58, dan tiga dari lima anaknya yang semua dalam kategori lembam akan membawa kereta tolak yang dipenuhi timbunan barang lusuh serta besi buruk yang dikutip sekitar daerah ini.

Katanya, walaupun dia dan isteri serta tiga anaknya itu sudah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing berjumlah RM250 dan RM300 tapi rutin itu tetap dilakukan meskipun kini dia semakin uzur.

“Sekarang saya semakin uzur, tak boleh bangun serta sakit kaki dan disebabkan itu saya perlu didukung anak untuk duduk di kereta tolak.

“Walaupun sakit saya kena keluar juga bersama isteri dan anak kerana mereka tidak biasa melakukan kerja itu tanpa saya lagipun mereka tidak normal seperti orang lain.

“Rasa sayang untuk tinggalkan kerja mencari besi dan barang lusuh ini kerana sudah menjadi mata pencarian kami sejak sekian lama lagipun pembeli sentiasa menunggu barangan yang kami bawa untuk dijual,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebing, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Seawal jam 3.30 pagi Pok Hod dan isteri serta tiga anaknya, Rosmaina Hod, 36, Mohamad Rosdi, 30 dan Nor Atiekah, 25, akan keluar berjalan kaki sekitar Tumpat sejauh kira-kira 30 kilometer setiap hari dan pulang menjelang tengah hari sebaik berpuas hati dengan kutipan barang lusuh dan besi buruk.

Kelibat mereka lima beranak berjalan di tengah panas sudah cukup dikenali penduduk di Pengkalan Kubor dan dengan penampilan yang tidak terurus mereka sering mendapat perhatian orang ramai yang sering menghulurkan sedekah.

Selain penerima bantuan JKM, rumah yang didiami mereka adalah sumbangan kerajaan Persekutuan yang diterima sejak 12 tahun lalu serta sering menerima barangan keperluan daripada penduduk dan pemimpin setempat.

Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Wan Roslan berkata, pihaknya turut menerima tempias apabila kisah keluarga Pok Hod yang ditularkan namun tidak menyalahkan orang ramai kerana dianggap tidak mengetahui perkara sebenar.

“Keluarga ini sudah sering dibantu contohnya rumah yang didiami sekarang adalah bantuan kerajaan, elaun bulanan dari JKM yang diterima kelima-lima mereka yang berjumlah RM1,400 sebulan sejak bertahun-tahun dulu.

“Kita tiada masalah jika ada yang ingin terus membantu Pok Hod dan keluarganya kerana menganggap ia adalah rezeki mereka namun jangan terus memberi persepsi negatif tanpa menyelidik perkara sebenar,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker