Rakam serbuan, tangkapan oleh polis satu kesalahan

KUALA LUMPUR: Tindakan merakam video atau membuat siaran secara langsung atau ‘live’ menggunakan telefon bimbit ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan atau tangkapan polis yang sedang bertugas di tempat awam, adalah satu kesalahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata mereka yang merakam boleh diambil tindakan kerana dianggap menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Ia juga bertentangan peruntukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Lip Eng bertanyakan sama ada salah atau tidak bagi orang awam merakam polis menggunakan telefon bimbit ketika mereka sedang bertugas di tempat awam.

Ketika menjawab soalan sama ada polis diberi kuasa memeriksa telefon bimbit orang awam di sekatan jalan raya, Hamzah berkata, polis boleh meminta atau merampas selain mempunyai hak menyemak telefon bimbit milik orang yang disyaki dan terbabit dalam mana-mana siasatan yang sedang dijalankan, namun bukannya orang awam secara rawak.

“Pemeriksaan telefon bimbit itu hanya dilakukan apabila individu disyaki melakukan suatu kesalahan jenayah bawah peruntukan undang-undang seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Akta lain yang membenarkan pemeriksaan oleh polis, kata beliau, membabitkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Akta 769).

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota PDRM sudah diluluskan kerajaan di bawah Rolling Plan Satu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kini ia masih dalam peringkat penelitian oleh Bahagian Perolehan, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker