2 beradik maut, seorang lagi parah dicampak bapa dari Lebuhraya MRR2

Polis siasat dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri

KUALA LUMPUR: Dua beradik warga Myanmar maut, manakala seorang lagi parah selepas dicampak bapa mereka pada ketinggian kira-kira 20 meter dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 pagi itu disedari orang awam apabila melihat lelaki berusia 38 tahun itu menggendong seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan mencurigakan, sambil memimpin dua lagi kanak-kanak lain di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, mengesahkan kejadian itu, dengan suspek yang juga bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit turut maut selepas dipercayai terjun dari lokasi sama.

“Ketika cuba dihampiri orang awam yang menyaksikan kejadian itu, lelaki terbabit terus mencampak ketiga-tiga kanak-kanak yang dibawa bersamanya itu dari Lebuhraya MRR2 yang dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 20 meter.



“Sejurus itu, lelaki terbabit terus terjun dari lebuh raya sama dengan semua empat mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, lelaki terbabit bersama dua daripada tiga kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi yang dianggarkan berusia lima tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati kanak-kanak lelaki yang terselamat itu mengalami kecederaan dalaman pada perut serta keretakan pada rusuk kirinya. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Mengenai dua lagi mangsa yang maut, beliau berkata ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun.



“Semua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik lelaki dewasa itu dan kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun.

“Semua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Eng Lai berkata, usaha mengenal pasti identiti dan umur semua mangsa serta suspek sedang dijalankan, justeru pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkait kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-4806062 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker