3 NGO bantah kedai arak di Nilai Perdana



Nilai: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat bantahan penjualan minuman keras di kedai serbaneka di Nilai Perdana, di sini, yang dilihat tidak sesuai memandangkan lokasi itu dihuni 90 peratus penduduk Islam.

Memorandum bantahan diserahkan Persatuan Penduduk Taman Serunai Nilai Perdana (PPTSNP), Jawatankuasa Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai di sini, kepada penolong pengurus premis itu, tadi.

Timbalan Pengerusi PPTSNP, jualan minuman keras tidak sesuai di kawasan penempatan berkenaan dan pihaknya akan melihat hasil bantahan itu dalam tempoh 10 hari lagi.

“Jika tiada sebarang tindakan dilakukan, kami akan ambil tindakan drastik lain termasuklah memboikot perniagaan premis itu.



“Mereka kena faham, 90 peratus penduduk di kawasan Nilai Perdana ini beragama Islam. Jadi tidak sesuai minuman keras dijual di sini sekaligus dapat mengelakkan golongan muda terjebak,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua ISMA Nilai, Afizhi Atan pula berkata, francais kedai serbaneka sepatutnya lebih cakna mengenai penjualan arak kawasan yang majoriti didiami penduduk Islam.

“Bantahan ini bukan saja kita buat di kawasan Nilai Perdana, tetapi membabitkan tempat lain yang lokasinya mempunyai majoriti penduduk beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana, Rosli Mohd Derus berkata, bantahan penjualan arak berkenaan akan dilakukan dengan bijaksana supaya ia tidak menyinggung mana-mana pihak.



“Bagaimanapun, pihak premis dan syarikat juga sepatutnya lebih sensitif dengan hal sebegini. Kami berharap pihak kedai serbaneka faham dengan niat kami dan memberikan kerjasama.

“Saya difahamkan sebelum ini pernah berlaku situasi sama di Bangi, Selangor dan selepas mendapat bantahan daripada penduduk, pihak kedai serbaneka memberikan respon positif,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker