Malaysia, India buat perhitungan emas badminton hari ini

BIRMINGHAM: Tumpuan peminat sukan tanah air pada hari kelima Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada hari ini pastinya terarah kepada skuad badminton dalam menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.

Selepas dua hari tanpa kilauan emas, rentak kemenangan pasukan badminton negara dalam acara berpasukan campuran amat ditagih dalam menyumbangkan emas walaupun misi itu dianggap sukar apabila terpaksa berdepan juara bertahan, India.

Aksi final dijadual berlangsung di National Exhibition Center (NEC) Birmingham jam 5.30 petang (12.30 tengah malam ini waktu Malaysia).

Pada aksi separuh akhir semalam, skuad badminton kebangsaan tidak berdepan masalah menjinakkan tuan rumah, England, 3-0 manakala India menumpaskan Singapura dengan keputusan yang sama.

Sementara itu, bekas juara dua kali remaja dunia, Goh Jin Wei merasakan beliau mempunyai lebih banyak perkara untuk dibuktikan berbanding pemain lain dalam skuad kebangsaan dan berikrar untuk tidak mengambil mudah penampilan sulungnya di Sukan Komanwel 2022.

Jin Wei, yang mengumumkan persaraannya dan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) September lalu untuk menjadi pemain profesional, bersyukur kerana diberi peluang oleh persatuan itu untuk beraksi di Birmingham 2022.

Oleh itu, pemain perseorangan wanita nombor 53 dunia itu meletakkan sasaran untuk membanggakan negara dan BAM dengan membantu pasukan negara menamatkan misi di Birmingham dengan cemerlang.

“Walaupun saya hanya pemain bebas, saya berbesar hati kerana BAM masih menawarkan saya peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel… terutamanya selepas apa yang berlaku sebelum ini.

“Jadi, saya percaya saya perlu melakukan yang terbaik di sini,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada beliau telah menemukan rentaknya selepas melepasi tiga kemenangan mudah menentang pemain Zambia, Jamaica dan Afrika Selatan dalam peringkat kumpulan, Jin Wei, 22, berkata perlawanan tersebut memainkan peranan penting dalam membantunya membina momentum.

“Perlawanan kelihatan mudah tetapi saya benar-benar perlu fokus pada setiap perlawanan,” katanya.

Juara Sukan Olimpik Remaja 2018 itu hanya melalui tiga perlawanan pemanas badan dalam Kumpulan D setakat ini.

Sementara itu, hari keempat temasya pada Isnin menyaksikan kontinjen negara sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.

Pingat perak disumbangkan skuad ping pong dalam acara berpasukan wanita selepas tumpas kepada Singapura di pentas final, manakala gangsa menerusi atlet boling padang berpengalaman Siti Zalina Ahmad dalam acara singles wanita.

Skuad angkat berat yang sebelum ini cemerlang menyumbangkan dua pingat emas pada Sabtu dan sebutir perak pada Ahad, hari ini gagal menjelmakan pingat apabila Mohamad Nasir Roslan hanya menduduki tempat ketujuh dalam kategori 81 kilogram.

Acara olahraga yang akan membuka tirai pada hari kelima temasya di Stadium Alexander di sini, bakal menyaksikan aksi atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin pada pusingan kelayakan.

Selepas berakhir hari keempat temasya hari ini, Malaysia berada di kedudukan kelapan dengan pungutan dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Australia kekal sebagai pendahulu kedudukan pingat apabila meraih 31 emas, 20 perak dan 20 gangsa, diikuti tuan rumah England di tempat kedua dengan 21-22-11 manakala New Zealand di tangga ketiga 13-7-4.

BERNAMA

Leave a Reply