Pahang sasar selesai 90 peratus isu bekalan air

Kuantan: Kerajaan negeri menyasarkan masalah bekalan air di Pahang dapat diselesaikan sekurang-kurangnya 90 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu menunjukkan komitmen tidak berbelah-bahagi dan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Hasil daripada sesi perbincangan, lebih RM2.3 bilion diperuntukkan daripada pelbagai sumber kewangan untuk melaksanakan 237 projek merangkumi 77 projek sudah siap, 34 projek dalam pembinaan dan selebihnya masih dalam peringkat reka bentuk.

“Projek ini membabitkan penyelesaian masalah terputus bekalan air dan tekanan rendah, penurunan rizab margin loji, jaringan bekalan air baharu, kekerapan paip pecah dan penurunan kecekapan peralatan.

“Ia juga membabitkan pemasangan paip baharu pelbagai saiz sepanjang lebih 250 kilometer bagi menyelesaikan kekerapan paip pecah dan terputus bekalan air,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Pahang (Dun) ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin tahu sejauh mana Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memantau masalah dan mengambil tindakan penyelesaian berhubung masalah bekalan air di beberapa daerah termasuk di Pulau Manis.

Katanya, masalah bekalan air berkenaan adalah satu isu yang kompleks yang menuntut perancangan rapi selain memerlukan peruntukan cukup besar serta tempoh masa untuk diselesaikan.

“Namun, saya istiqamah bahawa isu ini boleh diselesaikan jika kita benar-benar fokus dan bersungguh-sungguh mahu menyelesaikannya demi kepentingan rakyat.

“Justeru, saya bersama jentera Kerajaan Pahang sudah melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk memantau secara lebih dekat segala usaha menambahbaik perbekalan air di negeri ini melalui perbincangan hampir setiap minggu dengan Pengurus PAIP daerah di seluruh Pahang,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker