UMS juara projek UTC 2022

CAPTION: ABDUL RAZAK JAAFAR (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Projek UTC 2022 kepada wakil projek Burger Bae di Tanjung Malim.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih kejayaan berganda apabila dinobatkan juara Anugerah Projek Keusahawanan Sosial Terbaik dan johan kategori Pembentangan Projek Keusahawanan Sosial Terbaik dalam pertandingan Keusahawanan University to Community (UTC 2022) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

UTC 2022 yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak menyaksikan UMS menerima hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM4,250.



Menurut kenyataan media, universiti yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah itu meraih kejuaraan Anugerah Projek Keusahawanan Sosial Terbaik melalui projek Burger Bae.

Projek menu makanan barat itu dihasilkan pelajar Fakulti Pengajian Islam (FIS), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS.

Pelajar terbabit ialah Muhammad Hafiz Ierfan Rosli (FIS), Azzah Nublah Muhammad Saih (FSSA), Nurul Asykien Arisdani (FPP) dan Wibowo Prasateyo (FSSA).

Muhammad Hafiz selaku Pengarah Urusan Burger Bae berkata, projek sajian makanan barat itu bermula pada awal tahun 2020 ketika kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup kesan daripada pandemik wabak Covid-19.



Menurutnya, sepanjang tempoh berkurung sekitar Mac 2020, pasukannya memberanikan diri memulakan kajian dan pembangunan bagi menghasilkan produk makanan yang bermutu tinggi.

“Hasil kajian menunjukkan keputusan yang mengujakan. Idea ini bukan sahaja daripada aspek jualan burger, malah projek ini mampu memperkasakan belia menganggur menerusi peluang pekerjaan kepada mereka, terutama ketika pandemik berlaku,” katanya.

Tambahnya, dengan strategi jualan yang berkesan dan sokongan keluarga terutama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS, Burger Bae berjaya menambat hati pelanggan sehingga jualan tahunan mencecah RM90,000.

“Burger Bae kini mempunyai dua gerai di Kota Kinabalu, selain lima premis di Pontian, Johor,” ujarnya.



Selain muncul juara dalam dua kategori tersebut, UMS turut dinobatkan naib juara kategori Video Projek Keusahawanan Sosial Terbaik dan tempat kelima kategori Pameran Projek Keusahawanan Sosial Terbaik.

Pertandingan yang terbuka kepada semua Universiti Awam seluruh negara itu menyaksikan 700 pelajar menyertai UTC 2022 yang mana konsep pertandingan menggunakan model keusahawanan sosial yang dibangunkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), hasil kolaborasi bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Kerjasama itu dijangka dapat mengoptimumkan kepakaran dan sumber dalam melahirkan usahawan siswa yang kompetitif dan mampu bersaing dalam arena keusahawanan global.

Majlis penutup UTC 2022 disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang menyampaikan hadiah dan trofi kepada semua pemenang.



Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff; Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Norisma Mohd Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Ts. Dr. Suriani Abu Bakar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button