Bomba bantu mangsa banjir kilat

ALOR SETAR: Pasukan bomba dipanggil untuk membantu pasangan suami isteri warga emas berpindah ke tempat selamat selepas rumah mereka di Kampung Teluk Kechai, Kuala Kedah dinaiki air akibat banjir kilat hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada jam 10.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khirul Anwar Shaari tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, terdapat sepasang suami isteri yang mana suaminya iaitu orang kurang upaya (OKU) berusia 83 tahun terlantar di atas katil manakala isterinya berusia 70 tahun dalam rumah yang ditenggelami air.

 

 

 

“Bagaimanapun pasangan itu enggan berpindah memandangkan paras air semakin surut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, dalam kejadian banjir kilat di daerah Baling, anggotanya dari BBP Baling melakukan pemantauan di Kampung Telok Sanau, yang dinaiki air akibat hujan lebat sebaik menerima panggilan sekitar jam 7 malam tadi.

Beliau berkata, hasil pemantauan di kampung itu mendapati terdapat tiga keluarga terjejas dalam banjir itu.

“Paras air ketika itu meningkat melebihi tiga meter dan kesemua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Puan Habsah di Baling.

“Air dipercayai mengalir melalui Bukit Tok Sanau di kawasan itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pemantauan akan dilakukan berterusan selain penyelamatan sekiranya hujan lebat masih melanda daerah yang berisiko dinaiki air.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker