Di sebalik kelahiran Parit Sulong

Pekan Parit Sulong semakin rancak membangun dan meriah dengan kepelbagaian aktiviti penduduk. – GAMBAR HIASAN

 

PERKATAAN parit mengingatkan saya tentang kampung halaman seorang rakan yang terletak di Parit Haji Idris, Bukit Gambir, Johor.

 

Sebaik kaki melangkah masuk ke kampungnya, saya ternampak parit yang airnya berwarna coklat pekat mengalir perlahan.

 

Di beberapa bahagian dipenuhi dengan rumput dan tumbuhan yang hidup subur di dalam air seperti pokok paku rawan yang meliar di dalam dan tepi parit.



 

Kelihatan di kiri dan kanan jalan kampung berturap adalah parit yang memanjang dan berselirat di beberapa kawasan kampung.

 

Difahamkan parit-parit itu dibina untuk menakung dan membawa lebihan air mengalir masuk ke anak sungai bagi mengelak kawasan kampung banjir.

 

Ini kerana pada awal pembukaan kampung itu pada 1919, kawasan tersebut masih hutan, berair dan selalu banjir.

 

Justeru apabila saya diperkenalkan dengan tempat bernama Parit Sulong yang terletak dalam daerah Batu Pahat, Johor, saya sudah terbayangkan tentang pemandangan yang sama.



 

Timbul perasaan ingin tahu tentang asal usul nama Parit Sulong.

 

Tentu ramai yang ingin tahu bagaimana tempat itu mendapat nama.

 

Carian maklumat di Wikipedia, Ensiklopedia Bebas mendapati segalanya bermula pada tahun 1901.

 

Ketika itu, Datuk Bentara Luar, Datuk Mohd Salleh Perang melawat ke kampung-kampung selepas berjaya membuka Bandar Penggaram.

 

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di kampung-kampung itu, beliau mendapati terdapat banyak tanah-tanah terbiar.

 

Beliau berasa agak merugikan tanah-tanah itu tidak diusahakan dengan tanaman yang mendatangkan hasil.

 

Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk kampung membina sistem perparitan bagi mengairi kawasan tanaman, selain mengawal banjir.

 

Saranan itu mendapat sambutan baik penduduk yang membuka tanah dan menggali parit.

 

Masalah pekerja diatasi dengan membawa masuk penduduk dari Kepulauan Jawa termasuk dari Siak, Jambi, Palembang dan Banjar.

 

Berduyun-duyun mereka datang untuk membuka tanah dan membuat penempatan di sepanjang Sungai Simpang Kiri.

 

Catatan sejarah menyebut, terdapat seorang kaya bernama Sulong Gantang yang menetap di sebuah kampung berhampiran Sungai Senangar, salah satu cabang Sungai Simpang Kiri.

 

Beliau mempunyai kebun, menternak lembu dan kerbau, serta memiliki kedai dan pengkalan bot untuk para pekerjanya.

 

Mendengar seruan Datuk Bentara Luar itu, maka Sulong bersama Kadir Tar dengan nasihat Pawang Dollah mula menggali parit untuk dijadikan terusan air dari pengkalan bot miliknya hingga ke darat.

 

Parit yang baru digali itu dinamakan Parit Sulong, sempena namanya, Sulong Gantang.

 

Dengan terbinanya parit tersebut, kawasan Senangar tidak lagi disebut orang, sebaliknya dikenali sebagai Parit Sulong.

 

Pada tahun 1917, Penghulu Simpang Kiri, Saat telah melantik Sulong sebagai Ketua Kampung Parit Sulong.

 

Sejak itu, banyak pembangunan dapat dinikmati penduduk tempatan. Nama Parit Sulong pula kekal sehingga hari ini.

 

Hari ini, kawasan yang dahulunya kampung kecil berubah pantas seiring dengan perkembangan zaman.

 

Apatah lagi, anak kelahiran tempatan dari Kampung Bintang, Peserai, Parit Sulong, Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad yang dilantik Ahli Parlimen Parit Sulong sejak Mac 2008 sentiasa bekerja keras menjaga kebajikan penduduk tempatan, selain mementingkan aspek pembangunan mapan.

 

Ini bermakna sudah 14 tahun, beliau menjadi suri hati penduduk Parit Sulong.

 

Bukan calang-calang orang boleh dipilih sehingga tiga penggal sebagai Ahli Parlimen di satu-satu kawasan pilihan raya.

 

Tentunya faktor kecemerlangan, keprihatinan, kesungguhan dan keikhlasan dalam mentadbir dan menjaga kebajikan penduduk meningkatkan kepercayaan penduduk untuk melayakkannya terus berkhidmat.

 

Dengan pembangunan yang kian pesat berkembang, penduduk tentunya gembira dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

 

Terbaharu, penduduk mendapat manfaat daripada projek Ternakan Kelulut Moden Bee-Modular yang digerakkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta projek ternakan udang galah dan tanaman sayur dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Rohana Man

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker