Empat bayi berusia setahun antara Pati yang ditahan
SERIAN: Empat bayi berusia satu tahun adalah antara 26 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh tiga tekong tempatan di sini.
Kesemua mereka ditahan secara berasingan oleh pasukan Task Force dan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata dua daripada tekong itu ditahan di tepi jalan berdekatan Kampung Tangga, Jalan Serian-Tebedu kira-kira jam 11.15 malam kelmarin.
“Sepasukan Task Force IPD Serian dan anggota MPV telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama tujuh penumpang warga asing berumur dalam lingkungan 1 hingga 42 tahun.
“Di lokasi yang sama turut menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama 10 penumpang warga asing yang berumur satu hingga 41 tahun.
“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit disyaki tekong darat yang membawa Pati masuk ke negeri ini tanpa menggunakan laluan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, beliau berkata seorang lagi tekong tempatan ditahan di tempat letak kereta bersebelahan stesen minyak Shell di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam semalam, dengan membawa sembilan Pati berumur satu hingga 30 tahun di dalam sebuah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan kesemua penumpang warga asing berkenaan mendapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Aswandy berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 26A Atipsom boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala sabit kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya serta enam kali sebatan.
Justeru Aswandy menyedu masyarakat agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan.
Beliau juga menasihati masyarakat agar tidak terlibat dalam membantu sindiket penyeludupan migran.
Suara Sarawak