Venezuela tubuh pusat antarabangsa dengan undang-undang antisekatan lindungi pelaburan berskala Besar

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Sebuah Pusat Antarabangsa untuk Pelaburan Produktif dengan undang-undang antisekatan diwujudkan pemerintah Venezuela bertujuan melindungi pelaburan produktif antarabangsa, seperti dalam industri minyak dan gas, perlombongan, pertanian, dan pelancongan.

Ketua Misi Kedutaan Venezuela di Malaysia, Morella Barreto López, berkata kandungan instrumen undang-undang itu telah dimaklumkan kepada kor diplomatik yang diakreditasi di negara ini dan duta Venezuela di seluruh dunia melalui sidang video oleh Naib Presiden Eksekutif Republik Bolivaria dari Venezuela, Delcy Rodríguez dan Menteri Tenaga Rakyat dan Hubungan Luar Negeri, Jorge Arreaza, dari Istana Miraflores di Caracas pada 13 Oktober.

“Objektif utama pusat ini adalah untuk menarik pelaburan ke Venezuela bagi pembangunan ekonominya, (dan) perdagangan luar negeri selain menentang langkah pemaksaan sepihak (UCM) yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam kerangka undang-undang antisekatan, ” kata Barreto dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Rodríguez, dalam ucapannya, menjelaskan pusat ini akan mempunyai sebuah bilik pemantauan mengenai UCM agar negara tersebut mengetahui setiap sekatan haram yang dikeluarkan oleh AS yang memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Sejak 2015, kami menghadapi sekatan. Kini, kami menghadapi sekatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Ditambah dengan pandemik COVID-19, syarat-syarat ini (yang) menentang kemanusiaan ”, tambah Timbalan Presiden itu.

Rodríguez menekankan bahawa undang-undang itu bertujuan melindungi pelaburan negara, aset nasional dan antarabangsa, selain menjamin hak-hak rakyat Venezuela, bersedia mempertahankan maruah dan sumber daya tanah air daripada serangan bersifat imperial, ancaman dan penganiayaan.

“Kami telah menunjukkan bukti yang cukup bahawa Venezuela tidak akan menyerah,” tegasnya.

Sementara itu, Arreaza memberi jaminan bahawa undang-undang berkenaan  sangat berguna untuk hubungan komersial antara negara Amerika Selatan dan negara-negara di dunia, menentang UCM yang dikenakan oleh AS.

“Perundangan ini membolehkan kita menghadapi pencerobohan ekonomi yang terus berlanjutan sehingga mengekang perkembangan ekonomi Venezuela dan perdagangan antarabangsanya sejak sekian lama, terutama dalam lima tahun terakhir dari AS,” tambahnya.

Presiden Venezuela Nicolás Maduro menjelaskan undang-undang itu diperlukan kerana sekatan kewangan antarabangsa yang dikenakan AS. Ia bermaksud penurunan pendapatan pertukaran wang asing sebanyak 99 peratus ke Venezuela sejak 2013, yang meningkat dari US$56,000 juta kepada hampir US$500 juta pada 2020.

Krisis di Venezuela meningkat selepas Maduro dilantik sebagai presiden bagi penggal kedua untuk tempoh enam tahun lagi pada 10 Januari tahun lalu, setelah dilantik semula sebagai presiden pada Mei 2018.Pemimpin pembangkang Juan Guaido mendakwa penggal kedua Maduro sebagai tidak sah.

Guaido mendakwa bahawa perlembagaan Venezuela mengizinkannya untuk diangkat sebagai presiden.

Pada 24 Jan tahun lalu, AS, yang telah mengenakan pelbagai tahap sekatan terhadap Venezuela termasuk sekatan ekonomi dan kewangan, mengumumkan pengiktirafannya terhadap Guaido sebagai presiden Venezuela yang sah sementara Rusia, China dan banyak negara lain masih menyokong Maduro.

— BERNAMA

Makluman Rasmi: Tarikh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Empat Peringkat Serta PAU 2020

Makluman Rasmi: Tarikh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Empat Peringkat Serta PAU 2020

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker