Sasaran 35 emas tercapai

NURUL HIDAYAH meraih emas pertama taekwondo menerusi acara poomsae individu wanita, sekali gus membantu kontinjen negara mencapai sasaran 35 emas pada AUG 2022 di Opat Ratchathani, Thailand.

KUALA LUMPUR – Atlet taekwondo wanita negara, Nurul Hidayah Abdul Karim meraih pingat emas ke-35 di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, sekali gus melengkapkan sasaran emas kontinjen negara yang diletakkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi sukan tersebut.

Pelajar Universiti Malaya (UM) itu melakar kejayaan tersebut di kampus Ban Yang Noi menerusi acara poomsae individu wanita dengan mengutip 8.383 mata.

Beliau menewaskan peserta tuan rumah, Thunsinee Mookda yang mengumpul 3.350 mata, manakala gangsa untuk atlet Indonesia, Ruhil Masri (8.049 mata).

“Pada mulanya, saya berasa sedikit gementar kerana saya merupakan atlet pertama yang membuat persembahan dalam acara ini,” katanya.

AUG 2022 berlangsung di Opat Ratchathani, Thailand dari 26 Julai sehingga 6 Ogos. Ia merupakan acara sukan dwitahunan melibatkan atlet pelajar dari universiti negara-negara anggota ASEAN. Acara pertama diadakan pada 1981 dan dianjurkan Majlis Sukan Universiti ASEAN.

AUG edisi ke-20 ini menyaksikan kontinjen Malaysia disertai 275 atlet yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bertanding dalam 19 daripada 23 acara.

Pingat emas negara turut dikumpul daripada acara renang, olahraga, karate, badminton dan lawan pedang.

Nurul Hidayah bersyukur dapat membantu negara mencapai sasaran emas, selain gembira kerana pingat itu merupakan kutipan emas pertama acara taekwondo pada temasya AUG sejak sukan itu diperkenalkan 41 tahun lalu.

Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu bahawa emas yang diraihnya itu adalah pingat emas yang ke-35.

“Saya tak tahu, jadi saya tak fikir sangat dan hanya fokus untuk beraksi cemerlang di gelanggang,”ujarnya.

Pada Jun lalu, Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG 2022, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan memberitahu media bahawa pihaknya menyasarkan 35 pingat emas setelah melihat prestasi atlet yang memberangsangkan.

Beliau berkata, sukan seperti karate dan badminton diyakini boleh menjadi lubuk emas buat kontinjen negara dan jangkaan itu telahpun menjadi kenyataan.

Malah pencapaian itu melebihi jangkaan apabila pasukan badminton Malaysia muncul juara keseluruhan dengan membawa pulang empat pingat emas daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan dalam AUG 2022.

Antara atlet badminton cemerlang ialah pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Faiz Rozain yang meraih emas pertama negara selepas menewaskan atlet Indonesia, Muhammad Rafi Zafran Ferary 21-13 dan 21-8 di dewan badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat.

Rohana Man

Leave a Reply