Dua anggota trafik iring anak Ahli Parlimen dikenakan tatatertib

 

KUALA LUMPUR: Dua anggota trafik yang mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, pada Mei, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

BHOnline

Leave a Reply