IMIGRESEN SERBU KELAB MALAM ‘AMOI THAI’

Johor Bahru – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah kelab malam terkenal yang terletak di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor dan berjaya menahan seramai 50 orang individu. Operasi yang dijalankan oleh sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya bermula pada jam 1.00 pagi 4 Ogos 2022.
Operasi ini merupakan rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu.
Dalam serbuan di kelab malam ini, seramai 150 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 43 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Laos, dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan.
Turut ditahan tiga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan. Kesemua warga tempatan yg ditahan direman dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki warga asing sebagai pekerja am di kelab malam tersebut.
Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi. Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan.
Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki. Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1000 ke RM1500 satu malam.
Semakan awal mendapati wanita-wanita ini memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.
Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna.
Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Manakala tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen.
Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.
Sehubungan dengan itu, JIM akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket ini dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah utara.
Jabatan Imigresen Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker