Kesihatan VS Politik

KHAIRY JAMALUDDIN mengadakan pertemuan dengan Noraini Ahmad bagi menyempurnakan sesi libat urus RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama siswa IPT di Parlimen,semalam

Pelik dan ajaib rasanya bila ada pihak yang masih berpolitik mengenai isu kesihatan apabila menentang usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen, baru-baru ini.

Ahli Parlimen dari Bintulu, Sarawak secara vokal menolak RUU berkenaan ketika dibahaskan semalam dengan alasan ia dilaksanakan dengan tergesa-gesa dan perlu didahului dengan kaedah pendidikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Tidak terhenti di situ, Ahli Parlimen itu juga mendakwa pengenalan undang-undang tersebut mempunyai kaitan dengan sebuah aplikasi baharu yang memerlukan bajet besar sebelum ia diperkenalkan.



Pada tahap ini, mesti kita berfikir kempen anti rokok telah dilaksanakan sejak kita masih di bangku sekolah, namun kesannya tidak begitu ketara dan sudah tentu melibatkan belanja yang sangat besar. Sampai bila mahu menggunakan kaedah mendidik?

Aspek kesihatan tidak boleh dipolitikkan sama sekali dan strategi baharu berbentuk radikal seperti dasar Generation End Game (GEG) dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menyelamatkan dua juta nyawa daripada kematian akibat rokok menjelang 2040.

Selain itu, inisiatif mewujudkan kelompok bebas rokok membabitkan individu yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007 oleh KKM seharusnya mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia, apatah lagi dalam kalangan Ahli Parlimen.

Dalam RUU yang sama, denda tidak melebihi RM5,000 juga boleh dikenakan kepada pesalah yang melanggar perintah larangan membeli, merokok serta memiliki produk tembakau atau peranti merokok.



Tidak susah untuk kita faham yang KKM mempunyai fokus untuk melahirkan sentimen positif termasuk generasi pemisah daripada tabiat merokok yang setakat ini telah menyebabkan 400 kematian setiap minggu.

Kita semua perlu sedar kerajaan telah menghabiskan RM6.2 bilion untuk menanggung kos perubatan bagi merawat pesakit akibat merokok sepanjang tahun 2020 berbanding kutipan cukai yang tidak sampai separuh jumlahnya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bagi menyempurnakan sesi libat urus RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama siswa institut pengajian tinggi (IPT) di Parlimen, semalam.

Turut serta, 15 orang wakil pelajar dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia (MMU).

Pertemuan itu menunjukkan tanda positif apabila Noraini menyokong dan berminat untuk terlibat sama menguatkuasakan undang-undang tersebut pada peringkat pengajian tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker