KeTSA tolak permohonan baharu perlombongan di Tasik Chini

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baharu atau penyambungan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi tapak perlombongan dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata KetSA juga tidak akan menyokong dan mengeluarkan apa-apa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sekiranya permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Pada masa kini tiada operasi perlombongan di dalam kawasan Man and Biosphere (MAB) Tasik Chini. Mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains hanya tiga pajakan melombong (ML) yang masih berkuat kuasa di dalam kawasan MAB Tasik Chini iaitu ML14/2020 (luput pada 16/9/2025), ML15/2020 (luput pada 16/9/2025) dan ML15/2011 (luput pada 21/9/2022),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Pahang juga sudah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja atau pun ‘Stop Work Order’ kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021 dan masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

“Kerajaan Pahang turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 dan beberapa tindakan pencegahan diambil termasuk pemantauan kualiti air Tasik Chini, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), pewartaan rizab Hutan Simpan Chini (tambahan) dan memperluaskan Rizab Biosfera UNESCO,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Tasik Chini yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Pahang), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

“Dari segi tadbir urus, kerajaan Pahang sudah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang di bawah Enakmen Kerajaan Negeri bagi menguruskan dan menyelaras pelaksanaan pelan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

KeTSA juga kata beliau sudah mempergiatkan program penanaman pokok sejak 2015 bagi memulihkan kawasan terosot yang turut membabitkan pihak berkepentingan seperti komuniti Orang Asli.

“Pada tahun ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini.

“Ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022-Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Fuziah, Takiyuddin berkata, KetSA sedang menggerakkan usaha penanaman pokok secara besar-besaran dalam masa terdekat bagi tujuan pemulihaan kawasan terbabit.

“Saya yakin dan percaya tindakan diambil ini tidak akan menyebabkan status UNESCO itu ditarik balik. Saya akan gerakkan penanaman pokok secara besar-besaran dan akan membabitkan semua pimpinan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang dalam waktu terdekat untuk memulihkan keadaan sebenar di Tasik Chini,” katanya.

Kelmarin, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

BHOnloine

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker