Malaysia perketat kawalan sempadan elak ganja diseludup masuk

KUALA LUMPUR: Malaysia memperketat kawalan sempadan negara khususnya yang bersempadan dengan Thailand susulan keputusan negara itu membenarkan penanaman ganja serta penggunaannya dalam makanan dan minuman sejak Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sentiasa bersedia menangani masalah ganja melalui penguatkuasaan undang-undang dadah dan kawalan sempadan negara dengan lebih ketat melalui pelaksanaan OPS Benteng.

“Selain itu, agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia turut bersama memperketatkan kawalan sempadan negara.

“Kedudukan Malaysia yang strategik di rantau Asia Pasifik yang menghubungkan timur dan barat sudah menyebabkan negara ini menjadi pilihan utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk dijadikan ‘negara transit dadah’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik), minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kesediaan kerajaan Malaysia berikutan tindakan Thailand membenarkan tanaman dan penggunaan ganja dan kesan serta impak besar terhadap penyeludupan dadah ke negara ini terutamanya di kawasan sempadan.

Thailand pada Jun lalu mengumumkan membenarkan penanaman ganja dan penggunaannya dalam makanan dan minuman, sekali gus menjadi negara Asia pertama berbuat demikian dengan tujuan meningkatkan sektor pertanian dan pelancongan.

Agensi narkotik Thailand pada Januari lalu mengeluarkan ganja daripada senarai dadahnya, sekali gus membuka jalan kepada isi rumah untuk menanam tumbuhan itu, menjadikan ia negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan ganja digunakan untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan pada 2018.

Dalam pada itu, dalam jawapan bertulis menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) sehingga 12 Julai lalu, terdapat 17,703 orang pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di semua depot imigresen seluruh negara, terdiri 12,722 orang lelaki, 3,217 orang wanita, 996 orang kanak-kanak lelaki dan 768 orang kanak-kanak perempuan.

“Warganegara Filipina adalah tahanan paling ramai iaitu 7,022 orang (39.67 peratus), diikuti Indonesia seramai 4,625 orang (26.13 peratus) dan warganegara Myanmar seramai 1,390 orang (7.85 peratus).

“Bagi tempoh 2021 sehingga 12 Julai lalu, terdapat 247 kematian membabitkan 217 orang tahanan lelaki, 26 orang tahanan wanita dan empat orang tahanan kanak-kanak lelaki. Antara punca kematian dikenal pasti pihak hospital adalah jangkitan COVID-19, Tuberculosis, sakit jantung, sakit buah pinggang, kanser dan jangkitan paru-paru (Pneumonia),” katanya.

Katanya, bagi tempoh yang sama, kematian tertinggi membabitkan warganegara Filipina sebanyak 140 kematian direkodkan.

“Manakala, kematian kedua tertinggi membabitkan warganegara Indonesia sebanyak 55 (39.28 peratus) kematian, diikuti warganegara Myanmar dan Bangladesh masing-masing sebanyak 20 dan lapan kematian. Kematian warganegara Vietnam pula sebanyak sembilan kematian (3.71 peratus) daripada jumlah keseluruhan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker