Polis bongkar sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud

Sepang: Risikan pihak polis selama sebulan berjaya membongkarkan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menjadikan penuntut sebagai sasaran utama.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan ke sebuah kediaman di Cyberjaya di sini, yang dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan, Selasa lalu.

Dalam serbuan 11.45 pagi itu, lima individu termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia antara 17 hingga 32 tahun ditahan, selain merampas masing-masing lima komputer riba dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, modus operandi sindiket ini adalah menawarkan kerja sebagai jurujual kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.



Katanya, mereka perlu memasarkan barangan tidak wujud secara dalam talian yang dicipta oleh sindiket berkenaan dengan menawarkan gaji lumayan termasuk komisen 10 peratus bagi setiap barangan yang berjaya dipasarkan.

“Kegiatan ini terbongkar selepas jurujual yang kebanyakan terdiri daripada penuntut tidak menerima komisen selepas tiga kali dibayar termasuk laporan dari pembeli.

“Sindiket ini sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu. Malah, ia turut menggunakan 22 akaun keldai membabitkan kerugian 31 pembeli berjumlah RM843,996,” katanya kepada sidang media di IPD Sepang, di sini, hari ini.

Menurutnya, sindiket turut memperdayakan seorang pembeli yang juga penuntut dari Cheras, Kuala Lumpur yang berhadapan kerugian RM49,000.



Katanya, polis menerima 31 laporan dari mangsa dan pembeli dari seluruh negara termasuk masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

Wan Kamarul berkata, polis tidak menolak kemungkinan ketua sindiket ini adalah terdiri dari lima individu yang ditahan atau ada individu lain di luar sehingga siasatan selesai dijalankan.

Beliau berkata, kelima-lima suspek sudah ditahan reman tiga hari bermula Rabu sehingga esok bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya, pemilik 22 akaun itu juga akan dipanggil bagi membantu siasatan dan proses pembekuan akaun sedang dijalankan.

“Sindiket penipuan tawaran kerja ini adalah kes pertama direkodkan pada tahun ini di IPD Sepang dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker