Polis kesan sumber benih 34 pokok ganja di Sibu

KUCHING: Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber benih pokok ganja yang ditemui ditanam di kebun sayur di Sibu, 27 Julai lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata penemuan 34 pokok ganja itu adalah yang terbesar di Sarawak selepas kali terakhir dikesan tiga tahun lalu.

Menurutnya, kes berkenaan sudah didakwa di mahkamah dan sumber benih pokok ganja itu diperolehi dijangka diketahui dalam keterangan ketika perbicaraan.

“Itu penemuan terbesar pokok ganja yang ditanam di Sarawak setakat ini selepas satu pokok ditemui tiga tahun lalu,” katanya pada sidang media Op Tapis Khas Siri 5/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Dalam serbuan antara jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang di sebuah kebun sayur di Sungai Bidut, di Sibu pada 27 Julai lalu, polis menahan lima individu berusia 29 hingga 59 tahun termasuk dua warga asing susulan penanaman 34 pokok ganja di kebun berkenaan.

Mengulas Op Tapis Khas yang dijalankan pada 27 hingga 29 Julai itu, Mohd Azman berkata, seramai 358 individu termasuk enam warga asing iaitu 330 orang lelaki dan 28 wanita yang semuanya berumur antara 17 hingga 59 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Daripada jumlah itu, seramai lima orang disiasat mengikut Seksyen 6 B, Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1985, Seksyen 12(2) ABD 1985 (83 orang), Seksyen 39A(2) ADB 1985 (2 orang), Seksyen 39A(1) ADB 1985 (16 orang), Seksyen 15(2)(a) ADB 1985 (238 orang), Seksyen 30(3) Akta Racun (6 orang) dan Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (4 orang).

Menurutnya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini, JSJN Sarawak melakukan 5,491 tangkapan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9 juta.

Sementara itu, mengenai isu pertukaran sembilan anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kes peras ugut di Selangor baru-baru ini ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak, Mohd Azman berkata, pihaknya menyerahkannya kepada Bukit Aman untuk membuat penelitian.

“Kami (polis Sarawak) sudah memberi penjelasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak mengenai isu itu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker