UPSI lancar menu Keluarga Malaysia

 

 

MD AMIN MD TAFF (tengah) bersama pengusaha kafe dan mahasiswa menunjukkan Menu Keluarga Malaysia di Atrium Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, Tanjung Malim, Perak.

 

Rohana Man

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasmi melancarkan Menu Keluarga Malaysia bagi menyokong inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menghadapi cabaran kenaikan harga makanan di kampus ekoran peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

 

Sebanyak 17 daripada 23 pengusaha kafe dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus universiti tersebut bersetuju menyediakan Menu Keluarga Malaysia pada harga siling RM3.50 untuk satu hidangan kepada pelajar.

 

Sehubungan itu, persiapan rapi dilakukan bagi memastikan pelajar dapat menikmati hidangan yang berkualiti dan enak pada harga berpatutan.

 

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menu yang disediakan pada harga yang ditetapkan itu adalah mengikut kreativiti pengusaha kafe masing-masing.

 

Menurutnya, pelancaran menu Keluarga Malaysia itu bertujuan menjamin kira-kira 14,000 pelajar dari keluarga B40 di UPSI mempunyai pilihan menu berkualiti pada harga lebih rendah.

 

Beliau berkata, pelajar seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada pengusaha kafe terbabit atas pengorbanan mereka walaupun harga barangan keperluan di pasaran meningkat.

 

”Bagi menghargai pengorbanan pengusaha kafe, UPSI memudahkan permohonan bagi mendapatkan kelulusan moratorium sewaan ruang premis niaga selama enam bulan kepada mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Menu Keluarga Malaysia di Atrium Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di sini, hari ini.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Julai lalu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang antara lain bertujuan memantapkan tadbir urus penyaluran bantuan kebajikan kepada pelajar IPTA seluruh negara.

 

Pelaksanaan jawatankuasa itu membolehkan pengusaha kafe dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPTA dikecualikan daripada bayaran sewa enam bulan.

 

Dengan pengecualian itu, tanggungan kos boleh diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar iaitu pada harga siling RM3.50 untuk satu hidangan.

 

Md Amin berkata, UPSI bakal menerima kemasukan semula seramai 19,352 pelajar pada Oktober ini dan pihak pengurusan memberi jaminan bagi memastikan kos sara hidup pelajar termasuk makan, minum dan pengangkutan pergi dan balik dari kediaman ke kampus tidak membebankan pelajar.

 

Menurutnya, pihak pengurusan akan sentiasa memastikan kesejahteraan pelajar supaya anak-anak ini dapat belajar dalam suasana kondusif dan fokus kepada pembelajaran tanpa memikirkan hal perbelanjaan makan dan minum seharian kerana Menu Keluarga Malaysia UPSI akan dikekalkan demi kelangsungan hidup pelajar.

 

“Terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana mewujudkan dasar Menu Keluarga Malaysia ini. Inisiatif ini dapat mengurangkan beban pelajar di IPTA seluruh negara,”tambahnya.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, antara menu yang disajikan adalah hidangan harian seperti nasi putih beserta lauk lengkap dengan minuman, nasi goreng, nasi lemak, mi goreng, roti canai, bihun sup, bermula sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker