Guna nama universiti terkenal

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkolaborasi dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan aplikasi E-Skrol menggunakan teknologi rantaian (blockchain) untuk menangani masalah pemalsuan skrol di dalam dan luar negara. – GAMBAR HIASAN

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Jika dahulu ada pihak menjual darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri atau Datuk palsu heboh diperkatakan, kini trend yang sama muncul melibatkan penjualan ijazah palsu dengan gelaran doktor falsafah (PhD).



 

Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (PenDaPaT) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman mendedahkan, sindiket berkenaan dipercayai menjual ijazah palsu menggunakan nama universiti terkemuka dunia dengan harga RM120,000.

 

Norzaini juga mendakwa ada sindiket menghasilkan kajian PhD untuk pelajar termasuk menyediakan anugerah sarjana seperti anugerah pemimpin cemerlang, penyelidik cemerlang dan beberapa anugerah tertinggi universiti yang lain.



 

“Statistik penerima ijazah palsu ini tidak dapat dipastikan tetapi pada zaman serba moden kini, segalanya menjadi mudah untuk memalsukan sijil dan anugerah.

 

“Walaupun harga untuk mendapatkan sekeping sijil atau anugerah palsu mencecah ratusan ribu ringgit,namun masih ada yang sanggup membayarnya.



 

“Ditambah pula, masyarakat kini amat suka disajikan dengan pangkat dan gelaran, menyebabkan mereka cenderung untuk menipu atau bercakap separuh benar agar mereka dipandang tinggi dan popular,” katanya kepada media, baru-baru ini.

 

Tambahnya, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana boleh dilihat sebagai satu bencana yang mampu memusnahkan masa depan sistem pendidikan, profesion, merit dan persaingan yang adil.



 

Katanya lagi, sebelum ini beberapa soalan asas boleh menzahirkan doktor atau profesor palsu, tetapi kini ia menjadi sukar ekoran perkembangan teknologi dan media sosial yang bersifat sehala.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button