Ibu tunggal tinggal anak demi cari rezeki

KOTA BHARU: “Hanya Tuhan saja yang tahu apabila memikirkan dua anak yang masih kecil ditinggalkan di rumah setiap kali saya keluar bekerja.”

Itu luahan seorang ibu tunggal, Eswani Yunus, 41, yang berdepan situasi itu sejak hampir seminggu lalu apabila dua anak berusia lima dan lapan tahun terpaksa ditinggalkan di rumah bersendirian setiap kali keluar bekerja di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai tukang sapu.

Ibu empat cahaya mata itu berkata, sebelum ini dua anaknya Muhammad Adam Haris Mohd Hanafi, 8, dan Nor Asyikin, 5, di bawah jagaan anak sulungnya, Nor Fatihah, 16 yang sudah berhenti sekolah.

“Bagaimanapun sejak seminggu lalu, Nor Fatihah sudah bekerja di sebuah stesen minyak menyebabkan dua anak yang masih kecil ini tinggal bersendirian di rumah.

“Seawal jam 6.30 pagi saya keluar rumah untuk bekerja dengan dihantar oleh Nor Fatihah dengan motosikal dan selepas itu dia pula akan ke tempat kerja manakala jam 10.30 malam pula saya akan dijemput pulang.

“Adam masih bersekolah dan kini dalam Tahun Dua dan jika hari cuti memang dia yang mengasuh Nor Asyikin manakala hari biasa pula, saya terpaksa membawa anak bongsu ke tempat kerja secara sembunyi kerana bimbang dimarahi majikan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pauh Dal, Banggol, di sini, hari ini.

Eswani yang baharu dua bulan menyewa berkata, sebelum ini mereka menetap di sebuah rumah yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) namun mendakwa dihalau oleh keluarga bekas mentua dua bulan lalu selepas bercerai menyebabkan dia berpindah ke rumah sewa dengan kadar sewa RM260 sebulan.

Dia berkata, pendapatan yang diterima hanyalah RM40 sehari tapi mengharapkan ia mencukupi untuk menyara mereka empat beranak manakala seorang lagi anaknya menetap bersama bekas suami.

Eswani juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan kerana dikesan menghidap kemurungan dan perlu mengambil ubat sejak sembilan tahun lalu selain menjalani rawatan secara berkala.

“Alhamdulillah, bantuan bulanan yang diterima dapat meringankan beban saya walau adakalanya terpaksa mencatu makan dan jika terputus makanan, saya terpaksa menebalkan muka menghubungi beberapa rakan untuk membantu.

“Kadang-kadang saya mengambil upah mencabut rumput di rumah penduduk sekitar dan walaupun menerima upah yang tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat membeli makanan untuk anak,” katanya yang turut mempunyai kemahiran mengurut.

Terdahulu Eswani dikunjungi seorang aktivis masyarakat, Amran Rahman, yang sudah lama membantu keluarga itu dari segi sumbangan kewangan dan makanan asas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker