Kertas siasatan Abdul Hadi dihantar ke AGC

Oleh – Syeikh Baran


Kertas siasatan Abdul Hadi dihantar ke AGC
Razarudin

Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai melengkapkan kertas siasatan membabitkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak beradab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berkaitan kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ kini dalam rujukan Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum tindakan susulan diambil.



Kata beliau, Abdul Hadi telah dirakam percakapan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Selasa lalu.

“Beliau (Abdul Hadi) telah diambil keterangan oleh pegawai USJT di ibu pejabat Pas pusat, Jalan Raja Laut, Selasa lalu.

“Kita telah melengkapkan kertas siasatan dan ia telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Razarudin, pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada AGC dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



Selasa lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Marang tersebut selesai dirakam keterangan hampir sejam di ibu pejabat Pas pusat di Jalan Raja Laut, di sini.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, 15 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan dan akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button